Bagaikan mimpi jadi realiti, OKU terima kunjungan mesra Ketua Menteri

MIRI: Tiada kata dapat diungkapkan apabila melihat pemimpin nombor satu Sarawak berkunjung ke rumahnya ketika Tahun Baharu Cina.

Bagi Ng Sze Liang yang berusia 61 tahun, ia bagaikan mimpi jadi realiti walaupun dia bukan seorang kenamaan terkenal. Menerima kunjungan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bersama-lama rombongannya sebagai tetamu di kediamannya di Jalan Tudan dekat sini ibarat satu penghormatan tertinggi.

“Perasaan sangat senang hati dan gembira apabila Ketua Menteri berkunjung ke rumah saya. “Ini satu sejarah dan pertama kali rumah saya dikunjungi pemimpin nombor satu,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.

Ng beranggapan kunjungan Abang Johari di kediamannya itu sebagai hadiah terindah dalam hidupnya. “Ia merupakan terbaik yang pernah dia peroleh terutama ketika sambutan Tahun Baharu Cina.

“Diharapkan kunjungan Abang Johari akan membawa tuah kepada dirinya dan keluarga,” ujar Ng dengan nada gembira.

Warga emas itu cacat pergerakan selepas kehilangan kedua-dua belah kakinya akibat kemalangan di tempat kerja kerana dihempap kayu yang menyebabkan tulang kakinya hancur menjadikannya hilang keupayaan kekal.

Menurutnya, ia menjadi detik hitam dalam hidupnya sejak 29 tahun lalu malah hilang punca pendapatan untuk menyara keluarga.

Katanya, lebih dua tahun dia tidak bekerja dan buntu memikirkan cara untuk memperoleh pendapatan pada ketika itu.

Sokongan moral keluarga menjadikan dia kuat dan tabah menghadapi dugaan hingga hari ini.

Suara Sarawak