ADA rakan lama saya bertanya kenapa saya tidak menjuruskan tulisan saya kepada satu jurus khusus, agar lebih relevan dengan jiwa saya dan jangkaan pembaca.
Kata rakan-rakan dengan merayau dengan pelbagai topik, saya ‘terbang’ dari satu topik ke satu topik yang kadangkala tiada kaitan isu dengan isu.
Ia tidak membolehkan saya menghuraikan lebih mendalam isu-isu yang lebih dekat dan akrab dengan jiwa dan amal budaya saya.
Terima kasih kepada yang memberi pandangan.
Baiklah, untuk menekuni cadangan kalian saya minggu ini menapak dalam bidang yang paling dekat dengan aktiviti dan jiwa saya.
Asasnya saya seorang penulis walaupun lebih 20 tahun saya seorang penterjemah profesional daripada tahap penterjermah biasa ke tahap penterjemah tingkat khas, kerana ada ruang lagi untuk cara mendaki.
Saya boleh menterjemah daripada sebuah berita, ke sebuah rencana, laporan rasmi agensi hingga menjadi sebuah buku setebal 300 muka surat.
Saya sudah laksanakan itu semua sebagai kerjaya rasmi atau atau permintaan sesuatu pihak. Namun hati dan jiwa saya adalah jiwa insan yang boleh dan rajin menulis.
Tidak kiralah ada atau tidaknya orang yang sudi membacanya. Nampaknya prestasi tidaklah terlalu teruk kerana sudah ada menerima pengiktirafan di pelbagai peringkat, termasuk ‘dinobatkan’ sebagai Tokoh Puisi Kebangsaan Negeri Sarawak bersempena Hari Puisi Kebangsaan 2022.
Saya termasuk antara berbelas orang di seluruh negara. Dan skim itu baharu lagi, bermula tahun ini. Tidak payah cerita banyak tentang pencapaian sebab tidak banyak dan tidak seberapa.
Saya lebih senang mengingati dan menceritakan bagaimana saya menjadi seorang penulis.
Dikira daripada karya pertamalah yang ada orang lain membaca dan memberi komen.
Saya menulis atau menghasil karya asli atau ori semasa di bangku sekolah rendah, darjah empat.
Sebagai pasukan murid kedua belajar di sekolah kampung saya, kalau tak silap Sekolah Haji Leman Kampung Serdeng, namanya. Kini nama itu tidak digunakan seperti di kebanyakan kampung. Kini namanya terus SK Kampung Serdeng.
Kesian Tok Leman kerana namanya sudah tidak digunakan lagi, tanpa diberi alasan kenapa.
Kalau tak silap, saya adalah kemasukan ketiga sejak sekolah dibuka. Apabila orang mula bersekolah, saya sudah ghairah nak bersekolah dan saya berasa cemburu dengan abang-abang dan kakak-kakak yang masuk tahun pertama dan kedua kerana balik dari sekolah mereka membaca ABC dengan suara lantang sehingga sekampung boleh dengar.
Kebolehan menyebut abjad dan angka-angka sudah berilmu lebih tinggi orang kampung biasa.
Saya beritahu arwah bapa saya mahu bersekolah dan mahu menyebut dengan nyaring huruf-huruf dan angka-angka.
Arwah ayah mengatakan saya belum cukup umur.
Lalu saya memberitahu yang saya mahu pandai menyebut huruf-huruf dan angka-angka.
Arwah yang tidak pernah bersekolah dan hanya pandai sedikit membaca al-Quran dan mengajar kami mengaji cuba mengajar huruf rumi.
Arwah yang entah dari mana belajar telah cuba mengajar saya huruf-huruf rumi. Malangnya ayah hanya tahu huruf A sampai F.
Setahun saya menunggu menambah ilmu iaitu untuk membaca seluruh huruf rumi.
Saya sudah pandai menulis dan mengeja semasa dalam darjah dua dan dalam darjah tiga saya sudah mula menulis ayat.
Betul saya boleh menulis ayat-ayat apabila saya sentiasa mendengar radio di rumah datuk saya, yang antara orang yang terawal.
Saya belajar menulis ayat-ayat dengan menyalin resipi disiarkan radio.
Penyiar yang menyiarkan resipi hampir setiap hari membaca ayatnya berulang-ulang seperti guru mengajar dictation.
Saya tulislah resipi itu mengikut ejaan yang saya fikirkan betul.
Satu lagi kelas tidak rasmi saya belajar menulis adalah lirik lagu-lagu yang disiarkan radio.
Memang kebanyakan lagu ketika itu iramanya perlahan dan berulang-ulang.
Kemahiran saya menyalin resipi dan lirik lagu ini memperkenalkan kepada ilmu bahasa dan penulisan tanpa disedari.
Tidak berapa lama jadi buah mulut dan mendapat pujian.
Dari itu saya menambah bidang dengan menulis pantun-pantun disiarkan radio yang seminggu sekali menyiarkan gendang Melayu lama dan Gendang Melayu Baru.
Daripada gendang saya kemudian menyalin bait-bait syair yang disiar radio.
Ketika itu saya tidak terfikir yang saya akan menjadi seorang kakitangan radio, jadi pengurus sebuah stesen radio dan menerbit rancangan Sastera di Radio dari tahun 1971 hingga tahun 2004.
Ujian kemahiran saya mengarang puisi khususnya pantun ialah apabila suatu hari arwah ibu yang bangga dengan kebolehan saya menulis pantun dan syair menyuruh saya menulis surat kepada sanak-saudara di Daro dan menyuruh saya menghiaskan surat itu dengan pantun dan syair.
Ketika itu pecah kepala memikirkan bagaimana hendak menulis surat.
Tidak pernah tengok surat secara fizikal. Tetapi tidak berani mengecewakan ibu yang amat bangga dengan kebolehan anak sulungnya.
Surat yang hantar ke Daro itu menjadi cerita besar dalam kalangan adik beradik ibu saya di Daro.
Dan berita itu turut melantun semula ke kampung. Kerana itulah karya-karya awal saya yang ada pembaca dan penilainya.
Bangga rasanya dan berkembang hati dengan impian tahun berikutnya, menyambung persekolahan darjah lima dan enam di Daro.
Cukup setakat ini minggu ini. Saya rasa terkilan dan kesal kerana semua karya awal itu tidak ada lagi.
Kalau tidak hilang tentulah dapat dibaca sekarang.
Bagaimana dengan syairnya?
Kita ikuti sirinya minggu depan bagaimana saya menggunakan syair sebagai protes ketidakadilan yang saya alami semasa membesar sebagai anak sulung.