Bagaimana nasib mereka?

KUCHING: Apabila kes kehilangan kanak-kanak dan remaja berlaku, kebimbangan terbesar adalah pemangsa atau manusia bertopengkan iblis.

Terdahulu, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan, terdapat 54 kes kanak-kanak dan remaja dilaporkan hilang di Sarawak pada 2015 sehingga Mei tahun ini.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, bagi kes kehilangan kanak-kanak bawah 12 tahun, semuanya dijumpai dengan satu kes kematian.

“Bagi kes kehilangan remaja dalam usia 15 hingga 18 tahun yang merupakan kumpulan besar meninggalkan rumah dan belum balik, ini menjadi kebimbangan kita.

“Dalam usia terbabit yang dikategorikan sebagai belum matang dari segi pemikiran, kita bimbang wujudnya ‘pemangsa’ mengambil kesempatan terhadap mereka,” katanya ketika dihubungi Suara
Sarawak semalam.

Tambahnya, antara kebimbangan yang sering bermain di benak fikiran ialah, kes rogol, pemerdagangan manusia atau dijadikan sebagai pelacur.

“Bagaimanapun, ada dalam kalangan remaja berkenaan kembali ke rumah selepas dilaporkan hilang namun tidak dimaklumkan kepada pihak polis.

“Antara punca remaja ini meninggalkan rumah adalah disebabkan oleh pertelingkahan keluarga, mengikut kenalan, teman lelaki dan mengikut rakan yang menjanjikan pekerjaan,” jelasnya.

Oleh demikian, beliau menasihatkan para remaja Sarawak supaya jangan membuat keputusan dalam keadaan marah sekiranya mempunyai masalah dengan keluarga.

“Sebagai remaja, kita harus bertenang dan buangkan perasaan marah terhadap ibu bapa.

“Ibu bapa pula diharap jangan mengeluarkan kata-kata yang menjadi satu penyesalan ketika dalam keadaan marah dan kecewa dengan tingkah laku anak- anak,” ujarnya.