MATU : Pasukan Bagas Kampung Bawang dinobatkan Raja Sungai selepas menewaskan cabaran pasukan lain dalam kejohanan Mini Regata sempena Pesta Matu yang melabuhkan tirainya hari ini.
Bagas yang dibarisi 11 orang ahli pasukan termasuk lima wanita membawa pulang piala pusingan dan beberapa hadiah utama yang lain.
Menurut Ketua Pasukannya Ismadi Masli, kejayaan pasukan itu hasil daripada kerjasama walaupun hanya menjalani latihan dalam tempoh yang singkat.
Katanya, meskipun pernah menduduki tempat terbaik namun pencapaian kali ini disifatkan paling bermakna.
“Bagas atau lubuk sungai melambangkan semangat tinggi dalam kalangan semua ahli pasukan.
“Saya mengucapkan terima kasih atas kerjasama semua sehingga membuahkan kejayaan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Tempat kedua disandang Pasukan Pergau manakala Putera Satu ( Sekaan Kecil) menduduki tempat yang ketiga.
Pasukan lain yang berkongsi hadiah saguhati ialah Kuala Matu Bersatu,Komuniti Cina, Jemoreng (Sekiu Emas), Treng dan Masjid (Ts Zone), Tian 1 (Semboyan Tian) Tian 2 (Subzero) dan Sok.
Majlis penyampaian hadiah kepada semua pemenang disempurnakan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak Integriti dan Ombudsman, Datuk Dr Juanda Jaya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng.
Hadir sama Pegawai Daerah Matu, Wan Hipni Wan Mohamad.