
BAHAGIA. Apakah istilah bahagia bagi anda?
Bahagia bermaksud suasana senang, aman, damai dan gembira.
Bahagia sering dikaitkan dengan hubungan keluarga dan suami isteri, kelengkapan yang mencukupi, ekonomi yang stabil, secara fizikal serta spiritual.
Dalam sesebuah negara, rakyat yang bahagia akan memberi impak kepada pembangunan modal insan, ekonomi dan pembangunan moden.
Berdasarkan Laporan Kebahagiaan Dunia(WHR) setakat Oktober 2021, negara terbahagia di dunia ialah Finland, Denmark, Iceland, Switzerland, Belanda, Luxembourg, Sweden, Norway, Israel dan New Zealand.
Negara-negara di utara Eropah ini mempunyai konsep tersendiri untuk terus kekal bahagia dalam kehidupan harian dan terus menjadi negara di tangga teratas bahagia di dunia.
Antara konsep yang diamalkan oleh negara-negara utara Eropah yang disebut hygge (konsep mengenai kesenangan), hiksen (tidak berbuat apa-apa), kosalig (ketenangan tanpa perlu mengorbankan kehidupan sosial) dan friluftsliv (mendekati alam).
Indek bahagia bagi negara di Eropah terbabit mungkin akan berubah bagi tahun 2022 dan ke atas kerana berlakunya perang antara antara Ukraine dengan Rusia.
Di Asia Tenggara, menurut WHR, Singapura merupakan negara paling bahagia dengan kadar indek 6.48, diikuti Filipina (5.90), dan Thailand (5.89).
Manakala Malaysia mendapat kedudukan keempat, dan di ranking ke-70 dunia dengan catatan indeks 5.711.
Meskipun demikian, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia(JPM), laporan Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia (MHI) tahap bahagia rakyat negara ini mencatatkan skor 6.48.
Dalam laporan itu, Labuan merekodkan skor paling bahagia iaitu dengan kadar indek 9.29 diikuti Kuala Lumpur (7.77) Putrajaya (7.28), Terengganu (7.20), Kelantan (7.02) dan Perlis (6.96).
Bagi Sarawak, indeks bahagia bagi rakyat ialah 6.69.
Ini menunjukkan paras kebahagiaan rakyat di negeri terbabit pada tahap bahagia. Tinjauan MHI 2021 diadakan buat julung kalinya membabitkan 42,446 responden itu bertujuan mengukur tahap kebahagiaan rakyat Malaysia dari segi fizikal, sosial, emosi dan spiritual.
Terdapat 13 komponen utama dalam kajian terbabit iaitu dari segi keluarga, amalan kerohanian, kesihatan, penggunaan masa, penyertaan sosial, dan perumahan serta alam sekitar.
Selain itu, persekitaran kerja, pendidikan, keselamatan awam, kebudayaan, pengalaman emosi, kemudahan komunikasi dan pendapatan.
Jika diperhatikan data-data ini bagi tahun 2021, rakyat di negara kita di paras bahagia meskipun pandemik Covid-19 melanda hingga menyebabkan ramai hilang pendapatan.
Dengan kecekapan kerajaan kita bertindak membendung penularan wabak terbabit, namun kesengsaraan rakyat yang hilang pendapatan menjadi keutamaan dengan menyalurkan pelbagai bantuan kepada semua golongan (B40, M40, T20).
Oleh itu, ia mungkin menjadi salah satu faktor Malaysia di paras rakyat yang bahagia.
Tidak dapat dinafikan, negara kita pernah menjadi contoh kepada negara-negara lain dalam membendung wabak terbabit tanpa menimbulkan kekecohan seperti rusuhan.
Namun, jika diperhatikan indeks bahagia ini mungkin akan berubah pada tahun-tahun akan datang kerana kesan daripada selepas pandemik Covid-19 dalam pemulihan ekonomi negara.
Ini kerana, pelbagai isu yang timbul, misalnya isu peningkatan harga barang asas yang naik mendadak lebih satu kali ganda memberi impak besar kepada golongan berpendapatan rendah.
Tekanan hidup ini pasti akan memberi impak besar kepada indeks bahagia dalam sesebuah negara.
Secara kesimpulannya, kebahagiaan dalam sesebuah negara itu memerlukan kerjasama antara pemimpin dengan rakyat bagi memastikan negara sentiasa aman dan damai.