KAPIT: Penduduk Rh. Bansa Langgak, Nanga Sebilat di sini cemas apabila tanah di hadapan rumah panjang 32 pintu berkenaan runtuh, pagi tadi disebabkan hujan lebat yang berterusan semalaman.
Pengarah Bomba Sarawak Khirudin Drahman berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian kira-kira jam 8.33 pagi daripada Pegawai Daerah Kapit, Douglas Pungga Lawang menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Kapit.
Susulan itu, katanya sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit bersama Douglas serta anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Kebajikan Masyarakat telah pergi ke rumah panjang terbabit menggunakan bot laju daripada Jabatan Pendidikan Kapit.
Katanya perjalanan mengambil masa lebih kurang 2 jam 30 minit dari Pekan Kapit.
“Sampai di lokasi didapati benar berlaku tanah runtuh di bahagian hadapan rumah panjang terbabit mengakibatkan beberapa struktur stor penduduk runtuh ke bawah.

“Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Khirudin berkata anggota bomba kemudian memasang sawar-sawar di sekitar kawasan runtuhan sebagai tanda amaran.
Katanya kesemua 202 penghuni rumah panjang berkenaan turut dinasihatkan agar tidak berada di ruang bilik yang berkemungkinan akan terkesan.
“Sekiranya berlaku runtuhan lagi, mereka dinasihatkan agar berpindah ke rumah saudara atau jiran terdekat,” katanya.