Bahasa harus berkonsepkan perkongsian makna

KUCHING: Bahasa bukan hanya sebagai alat komunikasi tetapi membawa sekali peradaban sesebuah anak bangsa. Timbalan Pengarah DBP Cawangan Sarawak Jaafar Hamdan menegaskan, isu bahasa yang dipraktikkan sebagai pemikiran akan mempengaruhi cara berfikir dan bertindak.

“Isu seorang penyampai radio berbahasa Inggeris (BI) yang mentertawakan seorang guru kerana penggunaan BI yang kurang betul atau kurang tepat atau nahu yang tidak standard merupakan kesan dan impak dasar pendidikan kita yang terlalu menggunakan konteks bahasa berbanding keintelektualan berkomunikasi,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak baru-baru ini.

Menurutnya, pembudayaan pemikiran yang digauli nilai BI tidak mampu membawa keperibadian bangsa Malaysia kerana pertembungan budaya yang jelas antara konsep timur dengan barat. “Ini semua berlaku kerana bahasa merupakan cerminan budaya sesuatu bangsa,” ujarnya.

Mengingatkan bahawa masyarakat timur kaya dengan peradaban sopan santun dan adab, tegas Jaafar, bahasa Melayu (BM) terbangun dalam luhur halus dan bersantun seperti terakam dalam peribahasa, pantun dan sebagainya.

“BM dalam takrif bahasa yang berfikiran tinggi penuh dengan tamsil, bidalan dan kiasan untuk diungkapkan dalam makna komunikasi,” jelasnya.

Namun Jaafar menambah, BM memiliki perbezaan dengan BI yang sudah sekian lama terikut dengan pembawaan barat dan ideologi kelangsungan yang melulu dan drastik. “Kita perlu faham, bahasa bukan hanya ditegaskan untuk menjadi wahana ilmu tetapi juga wahana jati diri penuturnya.

“Apakah jaminan BI akan melahirkan generasi pintar? Tanggapan ini amat subjektif sebab bahasa harus berkonsepkan “perkongsian makna” bukan hanya sebagai “pencarian” dalam konteks keilmuan,” ujarnya.

Menyebut penegasan BM sebagai bahasa pemikiran, komunikasi, adab dan akal budi perlu dijadikan anjakan strategi untuk mengembalikan nilai kesusilaan pemikiran dan tindakan khususnya oleh generasi muda yang cenderung untuk berasa bangga dengan berbahasa Inggeris, jelasnya.

“Bukan bermakna kita perlu mengabaikan BI yang sememangnya kukuh berdiri sebagai bahasa antarabangsa tetapi bukan bahasa penentu kebitaraan sesuatu bangsa,” katanya.

Melihat nasib penyampai video itu yang kini digantung tugas oleh Astro, Jaafar berharap kejadian itu menjadi pedoman dan teladan untuk memperbetulkan semula dasar dan agenda pendidikan negara ini.

Beliau optimis pendidikan sepatutnya menjadi nadi kepada usaha untuk membina kebijaksanaan pemikiran, keperibadian, spiritual serta peradaban dan bukan disasarkan hanya untuk kepandaian.

“Setelah lebih 60 tahun merdeka, akhirnya kesan penjajahan minda melalui penerapan berbahasa penjajah telah menampakkan kesan yang mengisi cara generasi muda kita berfikir dan bertindak.

“Jangan kita salahkan akibatnya sekarang ini kerana ini pilihan dan dasar yang kita persetujui dan kita lakukan tetapi salahkan kaedahnya dan pendekatan kita yang terlalu rakus untuk maju dan moden sehingga kita menggadai dan melenyapkan peradaban berfikir kita yang penuh dengan kesejatian bangsa ketimuran,” tegasnya.

Jaafar berharap isu memperlekehkan bahasa wajar ditangani dengan melakukan pelan tindakan yang lebih berfokus iaitu dalam usaha menjadikan generasi muda berpendidikan, bijaksana, beradab, bersopan santun dan berwibawa.