Bahasa rojak curi tumpuan warganet

SARIKEI: Suri rumah, Intan Suhaili, 33, sedikit pun tidak kecil hati dengan komen netizen mengenai rakaman suaranya yang tular di pelbagai medium media sosial sejak minggu lalu.

Ibu kepada tiga cahaya mata ini berkata, dia membuat rakaman suaranya secara spontan sekadar untuk mempromosikan barangan jualannya di Kampung Penipah.

Bagaimanapun katanya, dia tidak sangka rakaman itu menjadi tular sehingga mendapat pelbagai komen.

“Saya terkejut selepas mendapat tahu mengenainya dan tidak sangka rakaman itu tersebar luas.

“Saya sedar jadi bualan orang dan tidak kisah mengenainya. Lagipun, ia memang cara saya untuk mempromosikan jualan,” katanya kepada Suara Sarawak.

Nama Intan Suhaili menjadi bualan ramai apabila loghat Melayu Melanau yang digunakannya menjadi viral di pelbagai aplikasi laman sosial termasuk WhatsApp dan Facebook.

Bahasa rojak yang dirakam Intan berjaya mencuri tumpuan netizen sekali gus mempopularkan nama penjual ikan dan sayur-sayuran itu.

Bercerita mengenai perniagaannya, Intan berkata, dia dan suaminya berniaga sejak beberapa tahun lalu.

“Saya kerap ke Sibu untuk mendapat bekalan sayur-sayuran sebelum dijual. Ada antaranya saya peroleh sendiri di kampung.

Berniaga sudah menjadi punca rezeki keluarga kami.

“Justeru, saya tidak kisah ia (suara) tular… sekurang-kurangnya dapat bantu melariskan jualan saya,” ujarnya.

https://www.facebook.com/fuzianasahli.ana/posts/595774004679627

Kredit FB : Fuziana Sahli

Suara Sarawak