Tahukah anda lebih separuh daripada purata tenaga (kalori) individu di Malaysia kebanyakannya diperoleh daripada makanan dan minuman ultraproses.
Ini tidak mengejutkan kerana makanan dan minuman ultraproses mudah didapati, menarik dan sering diiklankan kepada semua.
Banyak kajian ilmiah membuktikan makanan ultraproses memberi impak negatif terhadap kesihatan.
Apakan makanan ultraproses?
Bagaimana kita dapat mengelak daripada mengambil makanan jenis ini?
JENIS MAKANAN
Kajian terhadap jenis makanan yang diproses ditentukan oleh pakar pemakanan mengikut tahap pemprosesan makanan tersebut.
Makanan yang tidak diproses atau hanya diproses secara minimum adalah seperti buah-buahan, sayur-sayuran, minuman tenusu, ikan segar, telur dan kekacang.
Kategori makanan pertama ini tidak diberi perisa tambahan dan tidak berubah daripada keadaan asalnya ketika dimakan.
Kandungan vitamin dan nutriennya masih kekal.
Makanan jenis perisa atau bahan tambahan masakan yang diproses adalah seperti gula, garam dan minyak merupakan jenis makanan yang kedua dikelaskan.
Makanan hasil campuran kelas pertama dan kelas kedua yang dinyatakan di atas dikelaskan sebagai makanan diproses.
Makanan kelas ketiga ini diolah melalui pelbagai kaedah masakan.
Jenis makanan diproses termasuk jem, jeruk, makanan dalam tin, sayur-sayuran yang dimasak, roti dan keju.
Makanan jenis keempat digelar makanan ultraproses.
Makanan ultraproses dihasilkan daripada lima atau lebih campuran bahan tambahan.
PENGAWET
Bahan tambahan dimaksudkan ialah bahan pengawet, pengemulsi, pemanis makanan, perisa dan pewarna tiruan.
Makanan ultraproses merupakan produk makanan yang diperbuat daripada bahan makanan tambahan tercampur dan diproses untuk menjadi lebih tahan lama, sedap dan mudah dimakan.
Makanan jenis ini dihasilkan kebanyakan industri pengilangan negara kita dan dikomersialkan secara meluas.
Malah, makanan ultraproses menjadi makanan ruji kebanyakan masyarakat negara kita.
Antara makanan tersebut termasuklah biskut, minuman berkarbonat, sos perasa, bijirin, pek roti, makanan sejuk beku dan ais krim.
Lihat pada label pemakanan pada bungkusan makanan di rumah, jelas tertulis pelbagai bahan tambahan asing seperti “bulking agents”, “hydrolyzed protein isolates” dan “humectants”.
KESAN NEGATIF
Makanan ultraproses mendominasi industri makanan negara.
Masyarakat hendaklah sedar akan kesan buruk makanan ultraproses terhadap kesihatan.
Kajian hubung kait di antara diet dengan penyakit kronik yang dilakukan oleh Fakulti Nutrisi Pemakanan di Universiti Stanford mendapati empat daripada enam pembunuh utama kebanyakan pesakit kronik dikaitkan dengan pemakanan tidak seimbang.
Pengambilan berlebihan makanan jenis ini menyebabkan obesiti, kencing manis, sakit jantung, darah tinggi, barah payu darah, kanser usus serta risiko kematian awal.
Masyarakat hendaklah mengubah tabiat pemakanan kepada diet berasaskan tumbuh-tumbuhan dan sayur-sayuran segar.
Pengambilan protein secukupnya juga digalakkan daripada ikan dan daging segar.
Jika timbul keinginan membeli produk makanan berbungkus yang diproses, baca terlebih dahulu senarai bahan kandungan yang tertulis pada label bungkusan makanan terbabit.
Jika bahan tersenarai terlalu asing dan sukar difahami, ini bermaksud bahan tersebut tidak sesuai dimakan.
Pihak berwajib perlu mengekang penghasilan makanan ultraproses yang berleluasa di pasaran.
Penguatkuasaan dan tindakan sewajarnya perlu diambil agar pemasaran makanan ultraproses tidak melebihi kepentingan pengambilan makanan segar.
Pengguna dewasa sekarang hendaklah dididik dan menjadi contoh kepada generasi muda akan datang agar tahap kualiti kesihatan generasi masa hadapan lebih terjamin.
Makanan yang sihat pastinya membentuk generasi yang lebih sihat pada masa hadapan.