ARTIKEL

Rashad Farooq Alshaikh (Kredit: Kedutaan Bahrain) | BERNAMA

Bahrain-Malaysia raikan ulang tahun ke-50 tahun depan – Kedutaan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Prospek masa depan hubungan Bahrain-Malaysia cerah apabila kedua-dua negara bakal meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik mereka tahun depan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin bagi memperingati Hari Kebangsaan Malaysia yang disambut pada 31 Ogos setiap tahun, Kedutaan Bahrain di Kuala Lumpur memaklumkan bahawa usaha sedang dijalankan untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang politik, ekonomi, pendidikan, budaya, pelancongan dan kesihatan.

Kedua-dua negara komited untuk mengukuhkan hubungan perdagangan, mengaktifkan perjanjian sedia ada, dan memupuk hubungan rakyat dengan rakyat yang lebih kukuh, menurut kedutaan itu.

“Pada majlis khas Hari Kebangsaan Malaysia ini, adalah penting untuk mengiktiraf kesan mendalam hubungan Bahrain-Malaysia ke atas kehidupan rakyatnya.

“Kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, penciptaan pekerjaan, dan kepelbagaian industri.

“Pertukaran budaya menggalakkan persefahaman dan penghargaan, memupuk semangat toleransi dan keharmonian dalam kalangan rakyat,” menurut kenyataan itu.

Kedutaan itu menjelaskan ikatan kukuh antara Bahrain dan Malaysia menjadi bukti persahabatan dan kerjasama.

Malaysia dan Bahrain mula menjalin hubungan diplomatik pada 25 Nov 1974.

Hubungan dua hala melakar lembaran baharu apabila pada 2017, Raja Hamad bin Isa Al Khalifa bertitah untuk menubuhkan misi diplomatik Bahrain di Kuala Lumpur, yang mengukuhkan lagi komitmen hubungan antara kedua-dua negara.

Kerjasama ekonomi telah menjadi asas kepada hubungan Bahrain-Malaysia, dengan pertumbuhan yang ketara dalam perdagangan.

Malaysia mengeksport pelbagai jenis produk ke Bahrain seperti kayu, perabot, elektronik dan minyak sawit, manakala Bahrain mengeksport produk aluminium dan barangan berkaitan minyak ke Malaysia.

“Kedua-dua negara telah muncul sebagai pemain utama dalam sektor perbankan Islam global, memupuk kerjasama erat dan perkongsian kepakaran,” menurut kedutaan itu.

Pelaburan Malaysia telah menyumbang kepada pembangunan infrastruktur Bahrain, dengan syarikat Malaysia memainkan peranan penting dalam projek utama seperti Litar Antarabangsa Bahrain, pusat membeli-belah Pusat Bandar Bahrain, dan peluasan Tambak Sitra dan Pelabuhan Khalifa.

Mengenai pertukaran budaya dan rakyat dengan rakyat, kedutaan menyatakan bahawa Malaysia telah menjadi destinasi pelancongan popular bagi rakyat Bahrain, yang telah terpikat dengan warisan budaya negara yang kaya dan layanan mesra.

“Begitu juga, pelajar Bahrain yang melanjutkan pelajaran mereka di Malaysia telah melahirkan penghargaan yang mendalam terhadap budaya dan tradisi Malaysia sambil menyumbang kepada landskap akademik kedua-dua negara,” katanya. – BERNAMA

BERITA LAIN

Mokhber presiden sementara

TEHRAN: Pemimpin Tertinggi Revolusi Islam Iran Ayatollah Seyyed Ali Khamenei mengisytiharkan selama lima hari tempoh berkabung awam berikutan kematian Presiden Ebrahim Raisi dan rombongannya dalam

Periksa syarikat produk rempah tercemar

MUMBAI: Lembaga rempah kerajaan India telah melakukan pemeriksaan kilang ke atas dua syarikat pengeluar rempah terkemuka berikutan larangan asing susulan tuduhan beberapa produk telah dicemari

Sekolah di Pakistan ditutup 7 hari

ISLAMABAD: Berikutan peningkatan suhu dan gelombang haba di wilayah Punjab, timur Pakistan, semua sekolah awam dan swasta akan ditutup selama tujuh hari dari 25 hingga

BERITA TERBARU