Baiki sistem pendidikan Sarawak

MIRI: Kesatuan Guru Sarawak (STU) menggesa Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mengkaji beberapa isu memperbaiki sistem pendidikan dan memberi manfaat kepada pelajar khusus di Sarawak.

STU telah mengadakan Majlis Mesyuarat Eksekutif Kedua di Mega Hotel, pada 14 hingga 16 Jun lalu.

Presiden STU Macky Joseph berkata, dalam mesyuarat itu pihaknya mahu guru mencapai skala DG54 ditukarkan kepada DG56 sebelum bersara supaya dapat memberi motivasi kepada mereka untuk meneruskan perkhidmatan dengan cemerlang.

“Kami tidak mahu mereka kekal statik salama 10 tahun dalam skala atau pangkat sama dan perlu mencapai kejayaan sebelum persaraan mandat pada usia 60 tahun.

“Ramai guru sudah berkhidmat menyumbang dalam sistem pendidikan negara kita sejak berpuluh tahun. Jika DG56 boleh dicapai, ia akan menjadi titik semangat kepada mereka untuk meneruskan perkhidmatan hingga bersara,” katanya dalam kenyataan media disiarkan baru-baru ini.

Tambahnya, STU membincangkan isu berkaitan Kod Etika untuk ibu bapa atau penjaga untuk meng galakkan hubungan baik bersama-sama guru menjalankan kewajipan mendidik anak mereka.

“Masyarakat kita hari ini semakin banyak melibatkan diri dalam urusan pendidikan dan menjalinkan hubungan dengan pihak pentadbiran sekolah termasuk guru.

“STU terlibat dalam penggubalan kod tersebut sejak 2017, ia diserahkan kepada Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak (JPN Sarawak) untuk tindakan selanjutnya,” ujar Macky.

Beliau berkata, STU meminta arahan rasmi supaya kelas tambahan tidak diadakan pada cuti sekolah kerana tidak semua guru dan pelajar tinggal bersama keluarga mereka.

Menurutnya, sebelum cuti Gawai Raya pihak STU ada menerima aduan daripada ahli bahawa kelas tambahan dijalankan semasa cuti sekolah, guru dan pelajar terpaksa mengorbankan masa sepatutnya dihabiskan bersama-sama keluarga.

“Ia sama seperti mencuri masa berkualiti untuk bersama-sama keluarga.

“Walaupun Menteri Pelajaran Malaysia Dr Maszlee Malik menasihatkan sekolah supaya tidak melakukan apa-apa aktiviti seperti kelas tambahan dalam video pada awal cuti sekolah pertengahan tahun, tetapi kita belum menerima arahan rasmi, ” jelasnya.

STU akan terus berusaha berunding, menyelenggara dan meningkatkan taraf profesional dan sosial guru sejajar moto mereka iaitu keadilan sosial dan keamanan.

Suara Sarawak