
MUKAH: Bajet 2023 yang dibentang semalam dilihat memfokuskan kepada kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan, kemakmuran ekonomi dan kecekapan perkhidmatan kerajaan.
Adun Daro Safiee Ahmad berkata, beliau melihat bajet berkenaan bersifat menyeluruh dan holistik yang merangkumi semua peringkat masyarakat.
“Secara keseluruhannya, ia lebih tinggi sebanyak 12 peratus, berbanding dengan tahun lepas iaitu dari RM 332.1 billion kepada RM 372 billion.
“Secara keseluruhannya bajet ini lebih kepada pengoperasian iaitu sebanyak 73.14 peratus, berbanding untuk pembangunan cuma sebanyak 25.5 peratus.
“Bagaimanapun, perbelanjaan untuk pembangunan meningkat berbanding dengan tahun lepas dan ini merupakan perkembangan yang positif kerana akan memperbanyakkan pembangunan infrastruktur, membuka lebih banyak peluang pekerjaan, termasuklah dalam sektor pertanian,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.
Jelasnya lagi, bajet pada kali ini memang jelas berpaksikan kepada kebajikan rakyat, khususnya mereka yang terkesan disebabkan oleh wabak Covid-19.
“Ia dapat dilihat bukan sahaja melalui penambahan jumlah bantuan kebajikan, malah beberapa bantuan kebajikan baharu seperti inisiatif Cahaya Mata Keluarga Malaysia.
“Golongan ibu daripada isi rumah penerima BKM juga akan diberikan bantuan tunai sebanyak RM 500, nampaknya Kerajaan Persekutuan mengikut langkah Kerajaan Sarawak yang memberi Bantuan Ibu Bersalin sebanyak RM 450 dalam bentuk tunai,” ujarnya.
Katanya lagi, kerajaan juga memberi perhatian kepada golongan belia dengan memberi penekanan dalam kemahiran, peluang pekerjaan, keusahawanan, menyediakan kemudahan pembiayaan kewangan, dan menanggung bayaran bagi mendapat lesen taxi, bas dan e-hailing selain menanggung pembayaran ujian memandu untuk lesen motosikal kelas B2.
“Malah terdapat peningkatan peruntukan pembangunan bagi Sarawak, walaupun ia masih jauh rendah daripada peruntukan sebenarnya yang kita perlukan,” tambahnya.