KUCHING: Kerajaan Sarawak mewujudkan program Agriculture Facilitation Fund (AFF) bagi meningkatkan ekonomi kawasan luar bandar.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, program ini diperkenalkan bermula tahun ini untuk membiayai pelbagai inisiatif pendapatan, penyediaan peralatan dan sokongan infrastruktur serta aktiviti berkaitan pertanian yang lain.
“Ia bertujuan menyediakan dana fasiliti sebagai insentif kepada pengusaha luar bandar, pengusaha kecil dan petani kerana penglibatan mereka dalam projek pertanian.
“Setakat ini, sejumlah RM265 Juta telah diperuntukkan untuk program ini dan pelaksanaannya akan diteruskan pada tahun depan,” katanya ketika membentangkan Bajet Sarawak 2021 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Abang Johari menambah bagi perbelanjaan pembangunan luar bandar, Abang Johari berkata, infrastruktur pusat pembangunan luar bandar akan terus dilaksanakan.
Dalam hubungan ini, sejumlah RM41.3 juta akan diperuntukkan di bawah Belanjawan ini untuk menyiapkan projek infrastruktur di Pusat Pembangunan Luar Bandar di Opar, Beladin, dan Semop.