Bajet Sarawak 2021 testimoni kesungguhan kepimpinan Ketua Menteri

KUCHING: Bajet Sarawak 2021 memberi testimoni kesungguhan kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan benar-benar memperjuangkan kepentingan Sarawak.

Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menerusi satu kenyataan hari ini berkata pelbagai projek rakyat yang diumumkan dengan memakan belanja puluhan juta ringgit bukanlah satu statistik semata-mata kerana ramai rakyat yang menerima limpahan pembangunan tersebut.

Katanya, Abang Johari menyedari bahawa rakyat perlu didahulukan terutamanya golongan yang terjejas teruk dari segi ekonomi dan pendapatan dalam meneruskan kehidupan harian mereka.

“Melalui penekanan terhadap ekonomi digital oleh Ketua Menteri ketika mula memimpin tampuk pentadbiran Sarawak tiga tahun lalu jelas bahawa sektor ekonomi ketika ini dipacu melalui transaksi digital.

“Ini jelas bahawa Ketua Menteri mempunyai visi yang jauh dan ia sedang berlaku ketika banyak perniagaan terjejas akibat Covid-19 tanpa kita sedar atau tidak sedari,” katanya.

Selain itu, Pergerakan Pemuda PBB percaya bajet Sarawak 2021 mampu memulihkan operasi sektor swasta.

Suara Sarawak