Bajet Sarawak 2021: Tumpukan projek berteraskan rakyat

KUCHING: Kerajaan Sarawak terus menumpukan pada projek berteraskan rakyat bagi mempercepat aktiviti ekonomi, apabila sejumlah RM6.304 bilion atau 62 peratus daripada Bajet Sarawak 2021 diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata pembangunan di kawasan luar bandar akan terus dipercepatkan untuk merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar.

“Untuk tujuan ini, sejumlah RM4.251 bilion atau 67 peratus daripada jumlah perbelanjaan pembangunan akan ditetapkan untuk pelaksanaan program dan projek di kawasan luar bandar.

“Sementara selebihnya RM2.053 bilion atau 33 peratus adalah untuk kawasan bandar,” katanya ketika membentangkan Bajet Sarawak 2021 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Menjelas lanjut, beliau berkata antara projek tersebut termasuk yang dibiayai di bawah Inisiatif Pembiayaan Alternatif Negeri ialah rangkaian jalan pesisir (RM1.152 bilion), pelbagai projek di bawah RECODA (RM1.687 bilion) dan Trunk Road Kedua (RM494 juta).

Selain itu ialah RM792 juta untuk projek di bawah Wilayah Bersepadu Agensi Pembangunan Samarahan (IRSDA), RM430 juta untuk pembinaan Jalan Lawas / Limbang,

RM500 juta untuk pelaksanaan Projek Rakyat, RM400 juta untuk Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dan RM235 juta untuk Projek Luar Bandar Kecil (MRP).

“Pelaksanaan semua projek ini akan memungkinkan rakyat untuk menikmati kemudahan dan infrastruktur awam yang lebih baik dan akhirnya membantu meningkatkan taraf hidup mereka.

“Projek ini juga akan mewujudkan kesan berganda kepada ekonomi tempatan, menjana beribu-ribu peluang pekerjaan untuk orang tempatan dan meningkatkan sektor pembinaan dan perkhidmatan,” katanya.

Suara Sarawak