Trending

Bakal dapat tangan palsu

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

KUCHING: Dilahirkan dengan sempurna, remaja berusia 17 tahun reda menelan hakikat apabila kehilangan anggota badan akibat kemalangan jalan raya yang berlaku pada 16 Mac lalu.

Muhammad Firdaus Irwandi dari Kampung Sungai Bedil berkata, dia terlibat dengan kemalangan motosikal apabila menjalankan pekerjaan sampingan sebagai penghantar makanan di salah sebuah syarikat yang sangat dikenali.

Katanya, insiden tersebut berlaku ketika dia menghantar makanan pada waktu malam dan ia merupakan episod baharu dalam kamus kehidupan pelajar Sekolah Menengah Kebangasan Tun Abang Haji Openg itu.

“Saya kehilangan separuh tangan sebelah kanan, dan bahagian hadapan kedua-dua kaki.

Sedih, memang sangat sedih.

“Tetapi keluarga saya khususnya bapa sentiasa memberikan semangat dan berusaha membantu untuk mendapatkan anggota palsu,” katanya.

Firdaus berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjalani proses pengukuran anggota pada Program Pengagihan Anggota Badan Prostetik secara percuma di Pusat Khidmat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Satok, di sini, Ahad.

Sehubungan itu, Firdaus memaklumkan bahawa dia sangat bersyukur dan teruja kerana menjadi salah seorang yang menerima anggota palsu sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut.

“Saya juga bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, dan sedaya upaya melatih diri menulis menggunakan tangan kiri kerana sebelum ini saya menggunakan tangan kanan.

“Jadi saya sangat bersyukur dapat menerima bantuan seperti ini kerana ia membantu saya membuka lembaran baharu kehidupan selepas tragedi tersebut,” ujarnya, sekali gus berharap program tersebut dapat diperluaskan untuk membantu golongan senasib dengannnya.

Sementara itu, bapanya, Irwandi Zainuddin, 44, memaklumkan bahawa semasa menerima berita anaknya kemalangan dan mengalami kecederaan parah iaitu dari kepala hingga kaki, dunianya menjadi gelap.

Menurutnya, insiden ngeri itu hampir membuatkan dia kehilangan anak keduanya itu dan bersyukur kerana Allah memberikan peluang untuk Firdaus terus hidup.

“Sebagai bapa, saya berusaha mencari tangan dan kaki palsu untuk anak saya ini, di Kuching masih sukar dan ia banyak di Jakarta.

“Anak saya kemalangan baru lagi, jadi proses mencarinya juga masih berjalan.

Dia masih bersekolah jadi memang kami memerlukan bantuan dengan segera.

“Apabila dimaklumkan mengenai program ini, kami memang bersyukur dan melihat sinar baharu untuk masa hadapan anak saya ini,” jelasnya yang merupakan pekerja di syarikat swasta.

Dalam pada itu, Irwandi memberitahu, insiden yang berlaku itu juga membuatkan dia berasa fobia melihat anak-anak menunggang motosikal.

“Firdaus merupakan anak kedua daripada empat anak saya, sudah pasti insiden tersebut membuatkan saya berasa fobia sehingga kini. Mungkin akan mengambil masa untuk kembali seperti biasa.

“Yang boleh saya nasihatkan, Firdaus perlu mencuba yang terbaik dan terus sabar serta reda dengan ujian ini.

“Program memberikan anggota palsu secara percuma memang wajar dijalankan kerana ia dapat memberi sinar kebahagiaan kepada golongan yang memerlukan, jadi saya juga sangat berharap agar usaha baik ini dapat dilakukan secara berterusan,” katanya.

Firdaus merupakan antara penerima anggota palsu yang disumbangkan menerusi program anjuran tiga NGO iaitu The Malaysian Church of Jesus Christ; Yayasan Peduli Tuna Daksa dari Jakarta, Indonesia; dan Persatuan Pengajian Sadhu Vaswani dengan kolaborasi Che Hui Khor Kuching and Ming Ya Shang Ge, Jakarta.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

27 November 2023

Berita Terbaru