KUCHING: TVS akan menghasilkan dokumentari dan filem sejarah negeri ini yang berlaku sekitar tahun 1700 hingga 1900 supaya dapat memenangi anugerah di peringkat antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif TVS Suhaimi Sulaiman berkata, pada waktu ini pihaknya sedang giat mengusahakan cerita mengenai komuniti pada zaman Rajah Brooke.
“Jadi saya rasa kita kena membuat satu filem sejarah yang dapat memenangi anugerah di peringkat antarabangsa. “Selain itu, kita juga bekerjasama rapat dengan universiti di negeri untuk menghasilkan dokumentari yang mempunyai standard tersendiri.
“Kita sudah mula membuat beberapa penyelidikan, mungkin kita boleh menandingi atau sehebat program Nasional Geographic kerana kita mempunyai sumber,” katanya ketika di temui di pejabat TVS.
Suhaimi berkata, sejak TVS dilancarkan, pihaknya menerima begitu banyak cadangan daripada penonton di seluruh negara bagi menghasilkan pelbagai jenis program terutamanya mengenai kehidupan masyarakat tempatan, kebudayaan dan pelancongan.
“Berdasarkan pengalaman saya, orang akan lebih berminat untuk menonton sesuatu rancangan apabila ia mencerminkan kehidupan mereka sendiri kerana ia memberikan inspirasi kehidupan.
“Selain itu, kita menerima cadangan daripada generasi muda yang mahukan lebih program hiburan yang mempunyai elemen Sarawak. Ia akan diglobal supaya masyarakat antarabangsa dapat menikmatinya.
“Kami mempunyai banyak perancangan. Begitu juga setiap cadangan daripada penonton. Kami ambil perhatian kerana berasa sangat bangga apabila mereka memberikan sokongan kuat,” katanya.
Tambahnya, TVS juga akan menyiarkan drama bersiri dan telemovie yang dibeli dari produksi tempatan juga beberapa negara Asia.
Katanya, stesen itu pada masa akan datang bekerjasama dengan produksi seluruh negara bagi menghasilkan drama masyarakat negeri ini.
TVS kata Suhaimi, turut mempunyai rancangan mewujudkan anugerah muzik seperti anugerah muzik Iban. “Pada waktu ini, kami mempunyai carta program Rhythm of Borneo.
Anugerah sesuatu yang kita sudah fikirkan kerana ia akan menarik ramai penonton dan meningkatkan jenama TVS itu sendiri,” jelasnya.