Bakar piza dalam talian

BETONG: Tenaga pengajar di Kolej Komuniti (KK) Betong teruja berkongsi ilmu pembuatan piza dalam talian walaupun terpaksa berhadapan sedikit kekangan berbanding kelas bersemuka.

Berikutan lanjutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini, Koleh Komuniti Betong komited memastikan takwin bagi penganjuran kursus pendek Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) dilaksanakan seperti biasa.

Bagaimanapun, ia harus disesuaikan dengan norma baharu. Menurut salah seorang tenaga pengajarnya, Muhammad Syafiq Jamaluddin yang mengendalikan kursus pembuatan piza mengakui PKPB menuntut amalan norma baharu termasuk sesi perkongsian ilmu.

“Saya sebenarnya teruja! Buat julung kalinya kolej ini mengambil inisiatif menganjurkan Kursus Pembuatan Piza dalam talian dan kami antaraKolej Komuniti pertama di Sarawak melaksanakan dalam talian melalui penggunaan Google Meet.

“Saya tidak menafikan banyak perbezaan mengendalikan kursus secara bersemuka dan tidak bersemuka,” katanya di sini baru-baru ini.

Jelasnya, kelas bersemuka sangat mudah kerana dapat berinteraksi secara fizikal, lebih-lebih lagi kursus seperti ini yang memerlukan demonstrasi.

“Namun apabila kelas bergantung kepada paparan skrin, menuntut saya lebih kreatif bagi membantu memberikan kefahaman 100 peratus kepada peserta. “Bagaimanapun, penggunaan aplikasi Google Meet sesuai dalam memberi maklum balas berkenaan soalan yang diajukan.

“Saya mencuba sehabis baik dan menjalankan prakelas bagi memperbaiki masalah yang akan timbul semasa kursus berlangsung. “Kami harus bersedia dengan inisiatif lain supaya pelajar memahami apa yang disampaikan,” ujarnya.

Bagi peserta kursus Salmizah Kipli dan Lian Ilat turut, mereka berkongsi perasaan puas hati dengan kursus dalam talian walaupun sedar akan kekurangannya. “Saya fikir kolej ini tampil dengan cara yang sangat profesional. Teknik pengajaran yang digunakan amat menarik dan mudah difahami.

“Tenaga pengajar juga sangat terbuka, menjawab setiap soalan dengan baik malah diselitkan dengan perkara lain. “Kami menganggap kursus pendek dalam talian memang sesuai dengan situasi pandemik,” jelasnya.

Manakala Roselyn Suil berpendapat, mereka yang mempunyai anak kecil sepertinya memilih mengikuti kursus dalam talian berbanding bersemuka kerana dapat menguruskan anak di samping menyertai kursus tersebut.

Mereka masing-masing bersedia mengikuti kursus lain anjuran Kolej Komuniti Betong pada masa masa depan. Kursus pembuatan piza anjuran kolej itu disertai sembilan peserta dan orang ramai yang berminat boleh berhubung terus pihak KK Betong di talian 083-471830 atau melawati laman rasmi Facebook untuk maklumat lebih lanjut

Suara Sarawak