ARTIKEL

PELBAGAI cetusan kreativiti dapat dizahirkan melalui fesyen yang unik dan tersendiri.

Bakat cilik jiwa patriotik

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SAMBUTAN Hari Kebangsaan tahun ini tampil lebih berwarna apabila Putera Puteri Merdeka 2026 (Edisi Jalur Gemilang) anjuran Juh Shopping dan Razz Couture berjaya menghimpunkan kanak-kanak daripada pelbagai latar menerusi acara yang menggabungkan elemen fesyen, kreativiti dan semangat patriotisme.

Program yang berlangsung dalam suasana meriah itu bukan sekadar mengetengahkan bakat kanak-kanak di pentas, malah menjadi wadah untuk menyemai rasa cinta terhadap negara, membina keyakinan diri serta menggalakkan generasi muda mengenali dan menghargai identiti kebangsaan.

Menurut penganjur, Razie Ali, idea penganjuran itu tercetus daripada hasrat untuk memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan menerusi pendekatan yang kreatif, ceria dan dekat dengan jiwa kanak-kanak.

Katanya, program itu turut bertujuan menyediakan ruang kepada kanak-kanak untuk mengembangkan bakat, keberanian dan keyakinan diri ketika tampil di hadapan khalayak, selain mengeratkan hubungan antara keluarga dengan komuniti dalam suasana perayaan yang harmoni.

“Paling penting, kami mahu menyemai semangat patriotisme dan rasa cinta terhadap negara sejak usia muda.

“Anak-anak bukan sahaja belajar tentang keberanian ketika berada di pentas, malah memahami nilai perpaduan dan kebanggaan sebagai rakyat Malaysia.

“Pemilihan tema Jalur Gemilang pula dilihat sebagai satu penghormatan terhadap simbol negara, dengan warna merah, putih, biru dan kuning diterjemahkan menerusi kreativiti pakaian serta penampilan para peserta,” katanya ketika ditemu bual oleh Suara Sarawak baru-baru ini.

Menurut Razie, tema berkenaan turut membantu kanak-kanak memahami makna simbolik bendera Malaysia dengan cara yang lebih santai dan menyeronokkan, di samping menjadikan keseluruhan acara lebih ceria serta mempunyai identiti kebangsaan yang jelas.

Lebih istimewa, ujarnya, edisi tahun ini memberi penekanan kepada gabungan keunikan budaya tempatan Sarawak dengan elemen patriotik negara, sekali gus menjadikan persembahan peserta lebih tersendiri.

“Kerjasama antara Juh Shopping dengan Razz Couture turut memberikan sentuhan yang lebih kemas dalam aspek penganjuran dan persembahan fesyen, manakala pemilihan The Hills sebagai lokasi strategik mewujudkan suasana yang lebih terbuka serta mudah diakses oleh peserta dan keluarga.

“Penyertaan program itu dibuka kepada kanak-kanak daripada seluruh Sarawak tanpa batasan kawasan, dengan pihak penganjur menyasarkan penyertaan yang berkualiti dan bersesuaian dengan kapasiti lokasi.

“Dalam pertandingan berkenaan, peserta dinilai berdasarkan beberapa aspek utama termasuk kesesuaian dan kreativiti pakaian mengikut tema Jalur Gemilang, keyakinan diri, gaya berjalan, senyuman, perwatakan, kefahaman terhadap tema kemerdekaan serta penampilan keseluruhan dan keaslian,” ujarnya lagi.

Berdasarkan penilaian juri, Airiel Mikhael Adlan muncul sebagai juara Kategori A, diikuti Leya Aldabella Ahmad Hidayat di tempat kedua dan Muhammad Irfan Hanif Abdul Rahman di tempat ketiga.

Bagi Kategori B, Aulia Izzatunnisa Dedi Alfiansah muncul sebagai juara, manakala Nur Qistina Batrisyia Samsudin menduduki tempat kedua dan Cassandra Glessia Christopher di tempat ketiga.

Dua anugerah khas turut disampaikan kepada peserta yang menyerlah sepanjang pertandingan.

Anugerah Peragaan Terbaik menjadi milik Nur Balqis Anisha Mansoor atas keupayaannya menyerlah di pentas menerusi kelincahan, keyakinan dan karisma, manakala Anugerah Kostum Terbaik dianugerahkan kepada Dayang Aina Fatihah Abg Mohamad Za’afari yang menampilkan keaslian serta ketelitian reka bentuk pakaian bertemakan Jalur Gemilang.

Selain pertandingan, program itu turut dimeriahkan dengan pameran dan ruang bergambar berkonsepkan Jalur Gemilang, persembahan mini, persembahan sampingan, ruang rehat untuk ibu bapa serta penyampaian cenderahati dan penghargaan istimewa kepada peserta.

Razie berkata, antara cabaran utama dalam menjayakan program itu ialah memastikan perjalanan acara mengikut jadual, di samping menjaga keselamatan dan keselesaan peserta muda serta memenuhi harapan ibu bapa.

Bagaimanapun, katanya, kerjasama erat daripada semua pihak membantu memastikan segala urusan dapat

dilaksanakan dengan lancar. Di samping itu, beliau berkata, sambutan terhadap program itu amat menggalakkan.

Pihak penganjur turut menerima maklum balas positif daripada ibu bapa dan masyarakat yang menyambut baik usaha memperkenalkan nilai patriotisme sejak usia muda.

Program berkenaan membawa mesej jelas bahawa generasi muda bukan sahaja perlu berani menyerlahkan bakat, malah perlu memahami nilai kesetiaan, perpaduan, keharmonian, disiplin dan kebanggaan terhadap warisan negara.

Justeru, pihak penganjur berharap Putera Puteri Merdeka dapat dijadikan acara tahunan yang lebih besar dan mantap pada masa hadapan, sekali gus melahirkan generasi muda yang berkeyakinan, berkarisma, kreatif serta mempunyai rasa cinta yang mendalam terhadap Malaysia.

Jalur Gemilang bukan sekadar warna dan lambang, tetapi simbol kebanggaan bersama yang menyatukan seluruh rakyat Malaysia. Menerusi program seumpama itu, semangat patriotisme dapat terus disemai dalam diri generasi pewaris negara.

BERITA LAIN

Golf Senior Pacu Pelancongan Sarawak

Kejohanan Golf Amatur Senior Antarabangsa Sarawak (SISAGC) 2026 bakal kembali tahun depan selepas edisi sulungnya berjaya menghimpunkan 156 pemain dari enam negara, sekali gus membuka

Al-Quran panduan bentuk akhlak

Kejayaan mengkhatamkan al-Quran bukanlah pengakhiran perjalanan seorang Muslim untuk mendalami kitab suci itu, sebaliknya menjadi permulaan untuk memahami, menghayati dan mengamalkan ajarannya dalam kehidupan seharian.

BERITA TERBARU