KUCHING: Bakat individu berkeperluan khas perlu terus diberi ruang untuk diketengahkan supaya masyarakat dapat melihat keupayaan mereka yang mampu menyumbang kepada komuniti, kata Ahli Lembaga Penasihat Persatuan Kebajikan dan Pembangunan Bakat Insan Istimewa Kuching (KATSN), Datuk Sim Kiang Chiok.
Beliau berkata, penganjuran The Gifted Art Gallery sempena Mid-Autumn Festival di Plaza Merdeka bertujuan menyediakan platform kepada individu berbakat untuk menampilkan hasil kreativiti masing-masing selain menggalakkan penerimaan dan sokongan masyarakat.
Katanya, program yang berlangsung dari 11 hingga 20 September itu bukan sekadar pameran seni, sebaliknya menghimpunkan pelbagai aktiviti termasuk persembahan muzik, tarian, bengkel kreatif dan aktiviti interaktif.
“Ini adalah tahun keempat kami menganjurkan program ini di Plaza Merdeka dan semua aktiviti dilaksanakan dengan sokongan sukarelawan serta ibu bapa.
“Kami mahu ibu bapa yang mempunyai anak istimewa tampil mendapatkan sokongan dan berkongsi pengalaman supaya mereka tidak berasa bersendirian dalam menghadapi cabaran,” katanya pada sidang media program itu di Hotel Waterfront, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Sim berkata, KATSN percaya masih ramai individu berbakat yang boleh diketengahkan termasuk dalam bidang seni lukisan, nyanyian dan masakan, namun bakat mereka mungkin belum mendapat peluang yang sewajarnya.
Katanya, KATSN menggunakan slogan “Together We Are Greater” dan “Everybody Can Be a Superstar” sebagai mesej untuk menggalakkan masyarakat bersama-sama menyokong serta meraikan keupayaan individu berkeperluan khas.

Sementara itu, Naib Presiden KATSN yang juga Pengerusi Penganjur, Amy Lee berkata, The Gifted Art Gallery menampilkan hasil karya lapan artis berbakat iaitu Dave Hwang, Steven Hwang, Rachel Lee, Kelvin Li, Alister Sim, Tommy Tie, Darryon Leong dan Damian Clarke.
Jelasnya, program itu dimulakan pada 11 September, manakala Majlis Perasmian akan berlangsung pada 14 September dari jam 2 hingga 5 petang dan disempurnakan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah serta Datuk Sim Kiang Chiok.
“Antara pengisian yang disediakan ialah persembahan khas artis yang mengambil bahagian bersama ahli Kelab Boccia, persembahan piano oleh Darryon Leong dan Rachel Lee serta persembahan tarian pelajar SJKC Bintawa,” katanya.
Turut diadakan persembahan tarian oleh Damian Clarke dan sesi lukisan potret secara langsung oleh artis Fook Liew, selain bengkel kraf menggunakan bahan kitar semula serta Healing Art Workshop pada 16 September.
Selain itu, Amy berkata, Majlis Penutupan dan Aktiviti Khas pula dijadualkan pada 19 September, manakala program diakhiri dengan Bengkel Membuat Tanglung pada 20 September dari jam 2 hingga 5 petang yang terbuka kepada orang ramai.
Katanya, pengunjung juga berpeluang membeli kuih bulan daripada Gifted Kitchen serta cenderamata yang menampilkan karya artis terbabit sepanjang tempoh pameran.
Sementara itu, Pengurus Pengiklanan dan Promosi Pemasaran Plaza Merdeka Management Sdn Bhd, Leovell “Sam” Avenido berkata, pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan KATSN untuk menganjurkan program itu buat tahun keempat berturut-turut.
Tambahnya, Plaza Merdeka sentiasa menyokong program yang memberi manfaat kepada masyarakat dan menyediakan ruang untuk golongan berkeperluan khas menampilkan bakat serta kreativiti mereka.
The Gifted Art Gallery diadakan dengan kerjasama Plaza Merdeka Shopping Centre, The Waterfront Hotel dan KATSN, dengan orang ramai, keluarga, penggemar seni serta masyarakat setempat dialu-alukan hadir bagi menyokong lapan artis yang mengambil bahagian.




