Bako tarikan pelancong

KUCHING: Banyak produk tempatan di Bako yang boleh diketengahkan bagi melambangkan identiti masyarakat tempatan kepada pelancong.

Adun Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata, keunikan Bako sebagai sebuah perkampungan nelayan harus diketengahkan menerusi kehidupan harian, hasil ekonomi dan budaya.

“Mengambil contoh perkhidmatan inap desa yang bukan sahaja menyediakan tempat bermalam, tetapi juga boleh mengetengahkan kehidupan penduduk tempatan.

“Seperti memproses belacan, membaiki peralatan nelayan, melihat buaya dan sebagainya sekali gus menarik minat pelancong datang berkunjung ke Bako,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Bako Fest 2020 yang berlangsung di Kampung Bako baru-baru ini.

Beliau berkata, penduduk kampung tersebut perlu merebut dan menerokai produk-produk pelancongan tempatan yang boleh dijadikan sumber pendapatan utama.

“Di samping itu, perkhidmatan lain yang boleh ditawarkan ialah menyelami kehidupan nelayan dengan turun ke laut serta menangkap ikan dan hasil laut dan menyajikan pembuatan makanan tempatan termasuk kuih-muih.

“Produk dan perkhidmatan seperti ini tidak akan terdapat di tempat lain dan keunikannya hanya ada di Kampung Bako,” ujarnya.

Mengulas lanjut, tambahnya Kerajaan Sarawak sentiasa membantu penduduk yang terlibat dalam industri pelancongan di negeri ini dengan mengadakan promosi dan publisiti secara meluas yang merupakan salah satu daripada sumber pendapatan utama negeri.

“Industri pelancongan merupakan salah satu daripada industri yang memberikan sumbangan ekonomi negeri yang besar selain minyak dan gas, perkayuan dan perkilangan.

“Justeru, Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan secara berterusan mengadakan promosi dan publisiti bagi menarik lebih ramai pelancong dalam dan luar negara datang ke Sarawak.

“Peranan ini juga perlu dipikul bersama penduduk tempatan dengan menyedia dan mempelbagaikan produk dan perkhidmatan yang boleh menarik minat pelancong untuk berkunjung dan menghayati keindahan semula jadi Bako,” ujarnya.

Malah, penduduk Bako harus berasa bertuah dan perlu mengambil kesempatan disebabkan nama Bako telah tersemat dalam buku pelancongan antarabangsa apabila Taman Negara Bako telah diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia.

Antara aktiviti-aktiviti yang diadakan sempena Bako Fest 2020 adalah Pertandingan Masakan Tradisional, Kuih Asli, Pertandingan Lipatan Kain, Pertandingan Gubahan Bahan Terbuang dan Pertandingan E-Sport.