BALI: Pulau peranginan terkenal Indonesia, Bali kelihatan sunyi kerana penduduk tempatan serta pengunjung menyambut Hari Nyepi, iaitu Tahun Baharu bagi orang Bali.
Memetik The Straits Times, Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai, yang mengendalikan sekitar 50,000 penumpang domestik dan antarabangsa setiap hari turut ditutup kepada semua perjalanan udara, kecuali darurat, dari subuh Rabu hingga terbit matahari pada Khamis.
Bank Indonesia berkata, perkhidmatan bank, termasuk mesin pengeluaran wang tunai ATM, juga tidak dapat digunakan sepanjang 48 jam bermula tengah malam Selasa.
Selain itu, pemerintah Bali turut mengarahkan stesen penyiaran dan perkhidmatan Internet dihentikan.
Penduduk diminta menyiapkan lebih awal bagi bekalan makanan, wang tunai dan petrol serta lain-lain untuk bertahan hingga Khamis.
Hari Nyepi tahun ini agak istimewa kerana buat pertama kali dalam masa empat tahun, warga Bali menyambutnya tanpa sekatan pandemik Covid-19.
Semasa Bali ditutup kepada pelancong akibat pandemik 2020, pegawai melarang perarakan dan perayaan tradisional menjelang hari Tahun Baharu Bali dan menggesa orang ramai duduk di rumah.
“Tahun ini, kami merayakan Nyepi tanpa sebarang sekatan seperti sebelum pandemik,” kata Nyoman Kenak, pengerusi cawangan Bali, Majlis Agama Hindu Indonesia.
Pada hujung minggu, penganut Hindu dilihat berduyun-duyun menuju ke pantai pulau peranginan itu, bagi merayakan Melasti iaitu satu perayaan menyucikan alam semesta.
Sementara, pada malam sebelum Hari Nyepi, penduduk kampung menyediakan patung ‘ogoh-ogoh’ yang menurut kepercayaan Hindu dan dibawa berarak di sekeliling pulau itu.
Bagai sebahagian penduduk Bali, ini adalah masanya bagi mereka merayakan sesuatu tanpa terlalu terikat kepada aturan keagamaan.
Tahun ini juga adalah yang pertama menyaksikan Hari Nyepi jatuh pada hari pertama umat Islam menyambut bulan Ramadan.