Banci penduduk, perumahan 2020 seluruh Sarawak diadakan 7 Julai ini

KUCHING: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bakal melaksanakan Banci Penduduk dan Perumahan 2020 bermula pada 7 Julai ini serentak meliputi kesemua 40 Daerah Pentadbiran di seluruh Sarawak, dengan tema ‘Data Anda Masa Depan Kita’.

Sehubungan itu, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah menyeru semua rakyat Sarawak agar bersama-sama memberikan kerjasama kepada Pembanci dari DOSM menjalankan tugas mereka.

“Kepada penduduk di bandar mahupun di luar bandar, pada hari bancian tersebut, mereka tidak perlu takut untuk di datangi oleh individu yang menyatakan mereka ialah pembanci kerana kita telah maklumkan awal akan perkara ini.

“Bagi memastikan mereka pembanci yang betul, orang awam boleh memeriksa tanda nama dan surat kuasa yang disertakan bersama menyatakan mereka telah dilatih dan diberi kuasa untuk membanci,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Perlaksanaan Banci Penduduk dan Perumahan 2020 di Bangunan Baitulmakmur semalam.

Fatimah memberitahu bancian yang diadakan 10 tahun sekali itu amat penting buat penggubal polisi, pihak kerajaan serta kementerian bagi merancang semua aktiviti, program, polisi, intervensi, agihan sumber dan semua perkara berkaitan untuk masa akan datang.

“Semua data maklumat yang diperoleh amat penting bagi kita di kementerian, melalui bancian ini jelas semua maklumatnya tepat kerana semua rakyat yang berada di Sarawak setiap satu maklumat isi rumah akan kita peroleh .

“Adalah menjadi hasrat kita di pihak Kerajaan untuk membangunkan Sarawak akan tercapai mengikut bukti data yang sahih dan nyata ini,” ujarnya.

Tambahnya lagi maklumat kependudukan banci sangat berguna misalnya melibatkan kependudukan warga emas , kerana pada tahun 2025 dianggarkan 16 peratus penduduk di Sarawak akan berumur 60 tahun ke atas, menerusi itu pihaknya dapat merancang awal pelbagai perkara menerusi Dasar Sosial Warga Emas Negara.

Menurut Timbalan Pengarah DOSM Negeri Sarawak Dayang Rozana Abang Hassan pula perlaksanaan Banci 2020 adalah sejajar dengan Resolusi 2020, Program Banci Penduduk dan Perumahan Dunia yang dipersetujui pada 10 Jun 2015 lalu oleh United Nations Economic and Social Council (UN ECOSOC).

“Adalah disarankan sekurang-kurangnya sekali Banci Penduduk dan Perumahan dilaksanakan bagi tempoh 2015 hingga 2024 atau 10 tahun sekali dan kali ini negara yang turut menjalankan banci ialah Amerika Syarikat, China, Argentina, Ghana dan Indonesia,” ujarnya.

Jelasnya objektif utama Banci 2020 ini adakah untuk mendapatkan stok dan profil penduduk dan perumahan yang komprehensif dan terperinci sehingga ke peringkat geografi kecil sebagai penanda aras bagi ciri-ciri demograi dan sosioekonomi penduduk.

“Melalui pertemuan pada hari ini kita bersama pihak Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Jabatan Kebajikan dan serta agensi lain akan bekerjasama dalam memastikan proses bancian ini dapat berjalan lancar,” katanya.

(dari kiri) Zainal Abidin Abd Mutalib bersama Siti Erfina Kadri, Dayang Rozanah Abang Hassan , menyampaikan cenderamata kepada Datuk Fatimah (tengah) sambil disaksikan Mohd Ali Taib, Mohamad Guntor Rajee dan Len Bubat di Pejabatnya semalam.

Suara Sarawak