SARIKEI: Kerajaan Sarawak akan membangunkan bandar baharu di kawasan Kampung Seberang di sini dalam usaha untuk memperbesarkan bandar ini.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, usaha itu termasuk dalam pelan induk pembangunan yang bakal memberi manfaat besar kepada rakyat dalam tempoh jangka panjang.
Melalui usaha itu katanya, kerajaan menyediakan lebih banyak kemudahan dan peluang ekonomi baharu kepada rakyat.
“Kita tetap meneruskan perancangan ini selagi kerajaan ditakbir oleh GPS. Justeru, saya mahu rakyat terus bersatu memberikan sokongan supaya apa yang kita rancang dapat dilaksanakan,” katanya pada Sesi Townhall anjuran Sarawak Volunteers di Dewan Sentral di sini, hari ini.
Beliau berkata, kewujudan Taman Agro bakal memperkasakan peranan wilayah Tengah Sarawak sebagai pengeluar makanan sekaligus meningkatkan taraf hidup rakyat melalui sektor pertanian bertaraf moden.
Katanya, taman seluas 314 ekar itu merupakan projek pertanian moden yang dibangunkan atas inisiatif Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Setakat ini katanya, sebanyak 50 peratus telah dibangunkan manakala selebihnya usaha melengkapi taman berkenaan dengan kemudahan teknologi terkini.
“Taman yang terletak di kawasan Baji ini dibangunkan Kerajaan Sarawak dan akan diusahakan oleh penduduk Sarikei sendiri. Selain Sarikei, kita juga membangunkan sektor perternakan ikan air tawar di Sungai Sian.
“Kita mengambil langkah ini kerana potensi besar sektor pertanian tempatan. Malah, permintaan luar negara terhadap produk tertentu memang cukup tinggi,” katanya
Sehubungan itu ujar beliau, Kerajaan Sarawak giat membina kemudahan infrastruktur bagi memudahkan pengeluaran hasil pertanian.
Katanya, antara langkah proaktif yang sedang dilaksanakan termasuklah meneruskan pembinaan jambatan sebagai pelengkap jalan pesisir.
“Saya sekali lagi ingin menegaskan Sarawak tidak akan bankrap. Kita mempunyai perancangan kewangan yang cukup rapi demi manfaat rakyat dalam tempoh jangka panjang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut meluluskan pembinaan untuk kawasan di Meradong, Sarikei dan Julau.
Terdahulu dalam ucapannya beliau mahu generasi baharu bersedia dengan perubahan arus pemodenan.
“Kita meneruskan legasi pembangunan daripada pemimpin yang terdahulu. Hasilnya Sarawak membangun dengan begitu tersusun. Persoalannya apakah persediaan kita selepas ini?
“Inilah peranan generasi muda dan sebagai pemimpin pelapis, mereka bersedia dalam segenap sudut,” katanya.
Program dihadiri kira-kira 1,400 penduduk sekitar Sarikei. Hadir sama Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh, Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan UKAS, Abdullah Saidol dan ADUN N.43 Daro, Safiee Ahmad.
Terdahulu beliau berkesempatan merasmikan dan melawat pameran Sarawak Pride di perkarangan pasar Sentral.