Bandar di Sri Aman kini dikenali sebagai Simanggang – Abang Johari

SRI AMAN: Bandar Sri Aman secara rasminya dikenali sebagai Simanggang bermula hari ini, umum Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata Simanggang yang merupakan nama asal untuk daerah Sri Aman itu sebelum ini, dipohon digunakan semula oleh Menteri Muda Kesejahteraan dan Komuniti Datuk Francis Hardin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang kepada Kabinet, baru-baru ini.

“Selepas perbincangan, akhirnya kita bersetuju bandar ini akan dinamakan Simanggang, bahagiannya masih dinamakan Sri Aman, jadi bermakna, bandarnya Simanggang, seluruh bahagiannya nama Sri Aman,” katanya dalam ucapannya sebelum merasmikan Pesta Benak Sri Aman 2019, di sini, hari ini.

Beliau berkata permintaan itu adalah rasional bagi membolehkan generasi baharu mengenali sejarah asal kawasan berkenaan.

“Sri Aman memang ada sejarah…Sri Aman ada perjanjian di mana kita telah mendapat keadaan begitu aman dengan penyerahan sidak (mereka) yang agak ekstrem, sosialis ataupun yang mempunyai mirip-mirip komunis, mereka menyerah diri, jadi negeri aman kita dapat bangunkan negeri kita, jadi Sri Aman, itu sejarahnya.

“Tetapi ada juga orang Sri Aman mengatakan di sini ada sejarah sebelum Sri Aman iaitu Simanggang. Kalau boleh carikan (letakkan) nama ini supaya generasi  baharu tahu, sini Simanggang, kerana dalam sejarah memang ada Simanggang, jadi bagi mengingatkan orang di sini mengenai nama Simanggang,” katanya.

Simanggang ditukar nama ke Sri Aman pada 1974 sempena Perjanjian Damai Sri Aman yang ditandatangani pada tahun yang sama yang menandakan tamatnya pergerakan bersenjata komunis di Sarawak.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Menteri Sarawak ketika itu, Tun Abdul Rahman Yakub dan pemimpin Pertubuhan Komunis Sarawak, Bong Kee Chok.

Sebelum perjanjian itu ditandatangani, beberapa siri rundingan damai diadakan di Simanggang.

Sementara itu, mengenai perancangan untuk Sri Aman, Abang Johari yakin dengan pelbagai projek infrastruktur termasuk jalan persisiran, Lebuhraya Pan Borneo, dan pelan pembinaan dua jambatan baharu menghubungkannya dengan Batang Lupar, daerah ini akan menjadi satu lokasi strategik yang memudahkan akses ke bahagian lain, seterusnya memberi impak positif kepada pembangunan di sini.

Beliau turut mengumumkan pembinaan sebuah dewan sivik baharu untuk daerah Sri Aman dengan peruntukan akan disalur melalui Rancangan Malaysia ke-12. – Bernama