Bandar pintar jadi realiti

SANTUBONG: Sarawak melancarkan wadah ujian 5G yang pertama di Malaysia di bawah Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (Centexs) dengan kerjasama Sedc, Huawei Technologies, Maxis, Sacofa dan Valsa. Wadah ujian ialah satu ruang percubaan atau platform bagi uji kaji dan penyelidikan 5G.

Dalam konteks perjanjian itu, ia bertujuan membangunkan Bandar Pintar 5G Centexs-SEDC yang akan menyokong insiatif Kerajaan Sarawak ke arah ekonomi digital.

Di bawah Pelan Pasca Covid-19, Kerajaan Sarawak fokus untuk memperkasakan alam sekitar dan ekonomi digital hingga tahun 2030.

Selaras agenda berkenaan, rangkaian 5G diperlukan sebagai asas mempercepatkan pembangunan ekonomi digital. Menariknya, kerjasama dalam membangunkan bandar pintar ini diterjemahkan melalui majlis perjanjian persefahaman secara maya, namun kesemua pihak terlibat saling menandatangani dokumen yang dipaparkan di skrin mega, kelmarin.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bersama-sama tetamu lain dapat menyaksikan detik bersejarah itu meskipun wakil Huawei, Maxis dan Eon Reality menandatangani dokumen berkenaan di Kuala Lumpur.

Dokumen itu ditandatangani oleh Pengerusi Centexs dan SEDC Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani; Ketua Pegawai Eksekutif Centexs Sayeed Mohd Hussein Abdul Rahman; Ketua Pegawai Eksekutif Sedc Sudarnoto Osman; Pengerusi Valsa Sarawak Tan Sri Abang Khalid Abang Marzuki dan Pengarah Urusan Sacofa Mohamed Zaid Mohamed Zaini.

Suara Sarawak