Bandar pintar tidak mustahil dicapai

ZHEJIANG: Visi kerajaan Sarawak mewujudkan bandar pintar tidak mustahil tercapai, jika rakyat negeri ini mempunyai mentaliti yang menerima perubahan ke arah digital.

Mentaliti sebegini yang mengubah Hangzhou, ibu kota Zhejiang, Timur China sehingga ia membangun menjadi salah sebuah bandar pintar di China.

Ia bermula apabila kerajaan tempatan Zhejiang memperkenalkan aplikasi Ali Pay iaitu kaedah pembayaran atas talian tanpa perlu membayar tunai yang dibangunkan oleh Alibaba, syarikat konglomerat multinasional China yang memiliki kepakaran dalam e-dagang, perdagangan, internet dan teknologi.

Menurut pemandu pelancong berasal dari Hangzhou yang hanya dikenali sebagai Abbey, kehidupan masyarakat khususnya yang tinggal di Hangzhou, sebuah bandar yang sangat sibuk berubah menjadi sangat mudah sebaik sahaja Ali Pay wujud.

“Di mana-mana sahaja, kami menggunakan Ali Pay untuk membayar segalanya sama ada membeli pakaian, membayar insurans, membuat temu janji dengan doktor, membayar tiket kereta api, membayar kad kredit, menyewa kereta, menempah hotel dan banyak lagi,” katanya.

Abbey berkata, apabila kerajaan tempatan Zhejiang memperkenalkan Ali Pay pada 2016, semua rakyatnya menyokong untuk beralih kepada system pembayaran tanpa tunai itu.

Katanya, ia sekali gus menjadikan Hangzhou sebagai bandar pertama beralih kepada sistem pembayaran tanpa tunai di China, walaupun Beijing dan Shanghai jauh lebih maju berbanding mereka.

“Ini adalah kejayaan daripada sokongan rakyat Hangzhou kerana ini adalah cara baharu untuk ekonomi.

“Kami sedar dan mahu beralih mengikut era digital… bandar pintar, kehidupan lebih baik,” katanya yang memberitahu populasi rakyat di Hangzhou adalah kira-kira 10 juta.

Justeru, mentaliti masyarakat Hangzhou inilah yang harus rakyat Sarawak ikuti, demi merealisasikan visi Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk berubah ke arah bandar pintar.

Inisiatif sudah ada iaitu Sarawak Pay, cuma ia memerlukan sokongan daripada semua rakyat Sarawak supaya mengguna pakai ia, sekali gus menjadi kunci untuk Sarawak menjadi negeri maju menjelang 2030.

Bandar pintar dilengkapi dengan data besar, penumpuan data serta rangkaian internet berkelajuan 5G dan dengannya kita juga dapat mengatasi jenayah, boleh mengatur pengangkutan awam termasuk gaya hidup penduduk.