ARTIKEL

Bandar Rafah terus dibom

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

RAFAH: Tentera penceroboh Israel mengebom bandar Rafah di selatan Gaza yang penuh sesak dengan penduduk pada awal pagi Isnin membunuh dan mencederakan ratusan orang awam Palestin.

Pihak berkuasa kesihatan di Rafah melaporkan pembunuhan tragis lebih 100 orang awam, termasuk kanak-kanak dan wanita, dengan ratusan lagi cedera.

Mangsa dikejarkan ke hospital di seluruh bandar itu, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).

Bulan Sabit Merah Palestin menyatakan bahawa Rafah sedang menyaksikan peningkatan serangan udara Israel yang tertumpu di pusat bandar yang turut menjejaskan kediaman berhampiran ibu pejabat Bulan Sabit Merah.

Pengarah Hospital Kuwait di bandar itu, Suhaib Al-Hams, berkata hospital itu dipenuhi dengan pesakit yang cedera parah selain berdepan kekurangan ubat-ubatan dan bekalan yang mencukupi.

Sumber tempatan berkata jet pejuang Israel melancarkan kira-kira 40 serangan udara, menyasarkan banyak rumah dan masjid yang melindungi individu yang kehilangan tempat tinggal.

Serangan itu disusuli dengan tembakan artileri dan pengeboman tentera laut Israel ke atas Rafah.

Antara masjid yang menjadi sasaran ialah Al-Rahma di Shaboura dan Al-Huda di kem pelarian Yibna, selain lebih 14 rumah yang berpenghuni. Serangan udara Israel juga menyasarkan kawasan berhampiran sempadan dengan Mesir.

Kira-kira 1.4 juta warga Palestin dan penduduk yang hilang tempat tinggal kini berada di Rafah selepas tentera penceroboh Israel mengusir beratus-ratus ribu rakyat Palestin dari utara Gaza ke selatan wilayah berkenaan.

Serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza sejak 7 Okt lepas telah mengakibatkan pembunuhan lebih 28,176 individu, yang majoritinya adalah orang awam manakala lebih 68,000 lagi cedera. – BERNAMA-WAFA

LAIN-LAIN BERITA

Kod etika garis panduan pengamal media

JAKARTA: Kod etika yang dilancarkan hari ini menjadi petunjuk dan garis panduan bagi pengamal media menjalankan tugas mereka.  Presiden Ikatan Setiakawan Malaysia-Indonesia Ashwad Ismail berkata,

Houti serang dua kapal AS di Teluk Aden

Jurucakap pasukan Houthi pada Isnin, 19 Februari 2024, mendakwa pasukan mereka menyerang dua kapal AS di Teluk Aden. Salah satu serangan merosak kapal yang sedang

BERITA TERBARU

Allahyarham Tun Taib, Arkitek Pemodenan

MIRI: Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud digambarkan sebagai seorang Arkitek Pemodenan kerana sepanjang perkhidmatannya sebagai Ketua Menteri, beliau berjaya mengangkat serta