MIRI, bandar minyak yang juga lebih dikenali sebagai pintu masuk ke utara Sarawak, sedang melangkah ke arah aspirasi yang jauh lebih dalam maknanya iaitu menjadi Bandar Kreatif Pertubuhan Kebudayaan, Saintifik dan Pendidikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dalam bidang sastera menjelang 2027.
Pengiktirafan ini diberikan kepada bandar-bandar yang mempunyai tradisi sastera yang kaya, industri penerbitan yang rancak, serta penganjuran festival buku dan perpustakaan yang hebat.
Dan sehingga kini, lebih 50 bandar di seluruh dunia sudah menerima pengiktirafan ini.
Pengumuman perancangan Miri ini dibuat oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah pada sidang media Festival Kesusasteraan Sarawak baru-baru ini.
Yang menarik perhatian saya bukan sekadar gelaran antarabangsa yang bakal disandang Miri, tetapi kata-kata Abdul Karim bahawa aspirasi ini “tidak seharusnya sekadar mengejar gelaran, tetapi mewujudkan gerakan sastera yang mampan untuk bandar tersebut.”
Kata-kata ini, pada fikiran saya ialah teras kepada seluruh perbualan mengenai kesusasteraan Sarawak sejak sekian lama.
Kita sering leka menganggap sastera sebagai sesuatu yang sunyi, terpencil di sudut perpustakaan atau dibaca oleh segelintir peminat setia sahaja.
Tetapi apabila sebuah bandar seperti Miri berani mengangkat kesusasteraan sebagai identiti kreatifnya sejajar dengan bandar-bandar seperti Norwich, England, Kraków, Poland dan Edinburgh, Scotland yang turut memegang gelaran serupa, ia sebenarnya membuka satu naratif baharu iaitu cerita, bahasa dan tulisan boleh menjadi enjin ekonomi kreatif, penjana pelancongan budaya dan paling penting ialah wadah untuk menghidupkan kembali suara-suara yang selama ini terpendam.
Dan Miri, sejujurnya, mempunyai bahan yang cukup kaya untuk tujuan itu bandar kreatif kesusasteraan.
Miri ialah bandar yang multibudaya, gedung pelbagai komuniti, bahasa dan tradisi lisan yang saya yakin belum semuanya sudah didokumentasi dengan sempurna.
Ada cerita-cerita orang Kayan, Kenyah, Iban, Melayu Sarawak, Kedayan dan pelbagai etnik lain yang tersimpan dalam ingatan generasi tua yang menunggu untuk ditulis menjadi buku, diterjemah dan diwariskan kepada generasi seterusnya.
Ini sebenarnya kekuatan sebenar yang perlu dieksploitasi.
Bukan sekadar untuk memenuhi kriteria UNESCO, tetapi kerana ia memang layak diselamatkan sebelum hilang ditelan zaman.
Saya perhatikan, kenyataan Abdul Karim turut menyebut Festival Kesusasteraan Sarawak 2026 dijadual berlangsung dari 23 hingga 27 September ini di Stadium Tertutup Miri dan Pustaka Miri.
Ia merupakan platform penting dalam perjalanan menuju pengiktirafan tersebut.
Ini satu yang bijak.
Sebarang pencalonan antarabangsa tidak boleh berdiri di atas kertas kerja semata-mata, sebaliknya perlu disokong oleh bukti aktiviti sebenar di lapangan iaitu pelibatan penulis, penerbit, pendidik, pustakawan dan yang paling penting ialah masyarakat itu sendiri.
Namun di sinilah timbul persoalan yang perlu kita fikirkan bersama.
Proses untuk menyertai Rangkaian Bandar Kreatif UNESCO bukan perkara mudah.
Permohonan mesti dihantar melalui negara, bukan negeri, kerana UNESCO hanya mengiktiraf ahli di peringkat kerajaan pusat.
Maknanya, Sarawak melalui Miri perlu menjalin hubungan rapat dengan pihak di Kuala Lumpur untuk memastikan permohonan ini benar-benar sampai ke meja penilaian antarabangsa.
la juga memerlukan dokumen pencalonan yang komprehensif, menunjukkan aset budaya, komitmen dasar bandar serta visi jangka panjang.
Bukan sekadar janji semasa kempen atau sidang media.
Proses ini dijangka mengambil masa antara setahun hingga dua tahun.
Tempoh itu mungkin kelihatan singkat berbanding pencalonan Tapak Warisan Dunia seperti Niah, yang mengambil masa bertahun-tahun lamanya.
Tetapi bagi sebuah gerakan sastera yang mahu ditanam akar umbinya dengan kukuh, tempoh
itu sebenarnya amat mencabar.
Bukan sekadar menyediakan dokumen tetapi membina ekosistem sastera yang benar-benar hidup dari peringkat sekolah, universiti, penerbit tempatan hinggalah kepada penulis muda yang baru mula mencoret kata pertama mereka.
Di sinilah peranan institusi seperti Pustaka Negeri Sarawak, Majlis Bandaraya Miri dan pelbagai organisasi budaya tempatan menjadi sangat penting.
Agensi ini bukan sekadar rakan kongsi teknikal dalam penyediaan dokumen pencalonan tetapi tunjang sebenar kepada kesinambungan gerakan ini sebelum dan selepas ini.
Ini kerana, seindah mana sekalipun namanya, pengiktirafan UNESCO hanya bermakna jika ia diteruskan dengan aktiviti sebenar secara berterusan dan memberikan makna dan manfaat kepada masyarakat.
Saya percaya, aspirasi Miri ini turut membawa mesej yang lebih besar kepada seluruh Sarawak.
Sastera bukan sekadar hobi segelintir individu, tetapi aset strategik yang boleh digandingkan dengan pelancongan, warisan dan ekonomi kreatif.
la juga satu peringatan bahawa kekayaan bahasa dan cerita rakyat Sarawak yang selama ini lebih banyak berlegar dalam bentuk lisan perlu segera didokumentasikan sebelum ia dilupakan oleh generasi yang semakin jauh daripada tradisi bertutur nenek moyang mereka.
Sebagai seorang yang lama bergelumang dengan dunia penulisan dan pengikut dunia sastera di Sarawak, saya melihat aspirasi ini sebagai peluang, bukannya beban.
la satu cabaran untuk
kita semua iaitu penulis, penerbit, pendidik, malah pembaca biasa untuk turut serta memastikan Miri bukan sekadar mengejar gelaran, tetapi benar-benar layak menyandangnya.
Saya percaya, aspirasi Miri ini turut membawa mesej yang lebih besar kepada seluruh Sarawak.
Sastera bukan sekadar hobi segelintir individu, tetapi aset strategik yang boleh digandingkan dengan pelancongan, warisan dan ekonomi kreatif.
Malah, mereka semua ini yang berada di seluruh pelosok Bumi Kenyalang perlu membantu Miri memperoleh gelaran ini. Kita jangan iri hati atau hanya memerhati, sebaliknya berikan sokongan kepada rakan-rakan di Miri.
Pada akhirnya, sebuah bandar kesusasteraan bukan dibina oleh sijil pengiktirafan semata-mata, tetapi oleh cerita-cerita yang terus hidup dalam jiwa masyarakatnya.



