Bandar yang hebat

KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) komited bergerak ke arah ekonomi digital sejajar dengan misi dan visi Kerajaan Sarawak.

Datuk Bandar MBKS Datuk Wee Hong Seng berkata, ia bertujuan mencetus revolusi ekonomi dan industri konvensional negeri ini bagi memacu pertumbuhan dan kemajuan sosioekonomi termasuk perkhidmatan digitalisasi agensi kerajaan di semua peringkat.

“Sejajar inisiatif tersebut, MBKS memperkenalkan aplikasi i-People yang menjadi platform digital bagi membolehkan interaksi dan komunikasi bandar ini.

“Ia termasuk dengan memberikan maklum balas, cadangan, makluman dan pemberitahuan supaya disampaikan dengan mudah kepada pihak majlis,” katanya ketika meyampaikan berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-32 Bandar Raya Kuching di sini, semalam.

Tambahnya, mereka juga melaksanakan sistem trafik pintar digital untuk melancarkan pergerakan lalu lintas ketika berlaku kesesakan.

“Kami juga melaksanakan digitalisasi bangunan untuk menjadikan proses perniagaan lebih efisien termasuk Augmented Reality di Galeri Gambar MBKS.

“Cara ini membolehkan pengunjung menikmati sejarah dan keindahan bandar Kuching melalui perspektif berbeza.

“Selain itu, kami juga akan terus meningkatkan operasi berasaskan ciri-ciri teknologi yang inovatif untuk digunakan oleh rakyat,” tegasnya.

Beliau mendedahkan, ia bagi memerangi Covid-19 dan membina Aplikasi Qmunity melalui tanggungjawab sosial korporat bersama-sama JT Utama Sdn Bhd dan ARx Media Sdn Bhd.

“Aplikasi ini untuk membantu pihak berkuasa di Sarawak mengesan pergerakan individu terutamanya dalam penjejakan kontak perjalanan dan lokasi seseorang seterusnya dapat dihubungi sekiranya berlaku kecemasan.

“Ketika ini, aplikasi tersebut mempunyai 372,226 pengguna,” jelasnya.

Beliau menjelaskan, MBKS dan DBKU turut meningkatkan penyampaian aktiviti teras selain melihat ke arah konsep hijau untuk menjadikan Kuching bandar mesra alam.

“Kami berusaha menjalin kerjasama strategik dengan NGO, komuniti, pemimpin masyarakat dan penduduk melalui pelbagai saluran dan platform.

“Kami juga menyusun idea serta rancangan menjadikan bandar ini sebagai tempat lebih baik,” katanya.

Hong Seng yang mengangkat gagasan pembangunan bandar Kuching memberitahu, Kuching sedang menuju ke arah bandar lebih cerdas dan sihat.

“Kuching dikenali sebagai Bandar Raya Perpaduan – Bandar Anda – Bandar Saya – Bandar Kami dan bandar yang hebat.

“Ia dirancang dengan pelbagai projek pemangkin untuk menghubungkan Kuching lama dan baharu di bawah bidang kuasa MBKS dan DBKU.

“Ini merupakan salah satu strategi pembangunan masa hadapan, dengan idea lebih bernas termasuk memberikan imej baharu yang lebih baik bagi rakyat,” jelasnya lagi.

Beliau juga mengingatkan masyarakat untuk sentiasa berwaspada dan saling bekerjasama ketika menghadapai gelombang kedua Covid-19 dan perlu mematuhi segala prosedur operasi standard yang telah ditetapkan.

Suara Sarawak