PDRM cari Rizal, belasah pemborong sayur separuh mati

Bangkit semula dengan hidangan lambak

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

KUCHING: Memilih menghentikan operasi gerai Nasi Ayam di Metrocity, Matang dan Satok, pasangan suami isteri, Rohayu Nen dan Sufian Othman, kini beralih kepada perniagaan hidangan lambak (shellout) makanan laut.

Menurut Rohayu, meskipun mempromosi hidangan tersebut sepenuhnya secara maya, namun sambutan pelanggan tetap menggalakkan seperti biasa.

“Sebelum ini, kami berniaga nasi ayam pada 2018 di kedua-dua gerai kami di Satok dan Metrocity, namun gerai itu terpaksa ditutup susulan pandemik tahun lepas,” katanya ketika ditemu bual Suara Sarawak.

Setelah menghentikan operasi gerai makanan itu, Rohayu dan suami kemudiannya bangkit semula menjalankan perniagaan makanan laut bertemakan hidangan lambak.

“Tidak dinafikan permulaan langkah mengalih perniagaan sangat sukar kerana terpaksa mengadaptasi cara baharu untuk menghantar pesanan kepada pelanggan.

“Alhamdulillah, penat lelah yang dilalui itu banyak mengajar kami terus tabah dan kini kami mampu mengupah penghantar menghantar pesanan pelanggan,” katanya lagi.

Mengulas detik awal perniagaan hidangan lambak itu, Rohayu berkata mereka terdorong memulakan konsep itu susulan minat masyarakat yang gemar dengan makanan laut.

“Saya juga melihat hanya segelintir kedai menjual makanan laut dan ini memberi peluang kami memulakan perniagaan ini dengan harga mampu agar lebih ramai pelanggan dapat menikmatinya,” katanya lagi.

Dengan operasi perniagaan yang dijalankan dari rumah itu, mereka hanya memasarkan makanan yang dijual menerusi Facebook dan WhatsaApp selama ini.

“Pelanggan bebas memilih sama ada mengambil sendiri makanan yang ditempah atau menggunakan khidmat penghantar makanan.

“Buat masa ini kami hanya menumpukan tempahan untuk pelanggan di kawasan Kuching,” katanya lagi.

Sejak beralih kepada hidangan lambak, jumlah pelanggan bukan sahaja semakin meningkat, malah ada yang sanggup turun dari Samarahan, Serian dan Bau ke Kuching untuk membeli makanan.

“Kami menawarkan tiga saiz bekas Shellout iaitu yang paling kecil berharga RM15, diikuti saiz sederhana RM30 dan RM45 untuk saiz besar.

“Kebanyakan pelanggan kami gemar menempah saiz yang lebih besar dengan harga RM90.

“Untuk setiap hidangan, pelanggan boleh memilih jenis masakan termasuk masakan sambal, mentega, kari dan lada hitam,” katanya lagi.

Selain menjalankan perniagaan ini, pasangan ini turut aktif menyediakan khidmat katering dari rumah ke rumah atau mengambil tempahan nasi pengilan.

“Meskipun perniagaan ini dijalankan di rumah ketika ini, namun tidak mustahil suatu hari nanti kami berupaya meneruskan semula di kedai milik sendiri kelak.

“Bagi saya, cabaran dihadapi sepanjang pandemik ini banyak mengajar kami terus tabah dalam mengawal emosi ketika jatuh bangunnya sesuatu perniagaan yang diusahakan.

“Selain itu sudah menjadi perkara biasa, peniaga berdepan pelbagai ragam pelanggan dan ada masanya bekalan makanan tidak mencukupi,” kata Rohayu.

Beliau berharap agar perniagaan ini bukan sahaja dapat dikembangkan, malah turut mampu membuka cawangan itu di sekitar Kuching pada masa akan datang.

Pelanggan yang berminat mencuba juadah hasil air tangan Rohayu dan suaminya, sila layari Yenz areyou Kitchen di Facebook untuk tempahan yang dibuka pada Selasa hingga Ahad atau hubungi 011-1260 8486 di talian untuk maklumat lanjut.

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

30 Mac 2023

Berita Terbaru