Bangladesh bina hospital mega

DHAKA: Bangladesh menyiapkan hospital padang mega dalam masa tiga minggu untuk merawat pesakit Covid-19 dalam usaha memerangi wabak yang semakin meningkat.

Negara Asia Selatan itu melaporkan hampir 18,000 jangkitan dan 269 kematian akibat Covid-19 walaupun Bangladesh melaksanakan penguncian di seluruh negara. Bagaimanapun, pengkritik mengatakan jumlah kes Covid-19 dilaporkan jauh lebih rendah daripada angka sebenar kerana ujian dilakukan tidak mencukupi.

Hanya sebilangan kecil hospital dikendalikan oleh kerajaan di Bangladesh ketika ini yang merawat pesakit Covid-19. Para pegawai berharap hospital padang yang baharu dengan kapasiti 2,084 katil di ibu negara Dhaka itu nanti membantu meringankan tekanan ke atas insfrastruktur penjagaan kesihatan negara itu.

“Sekiranya kita dapat menguruskan tenaga kerja yang diperlukan, kita akan dapat memberikan perkhidmatan lebih baik di pusat isolasi ini,” kata pengarah hospital Ehsanul Haq, merujuk kepada lebih 4,000 petugas kesihatan yang diperlukan sebelum ia dapat memulakan operasi.

Hospital Grid Pusat Konvensyen (BCCGH) 2,084 katil terdiri daripada tiga pusat konvensyen dan struktur sementara yang besar dibuka di pekarangan seluas 2.5 juta kaki persegi yang dipinjamkan oleh Bashundhara Group, salah satu syarikat swasta terbesar di Bangladesh.

Dengan kebimbangan meningkat di Bangladesh tentang lonjakan kes secara besarbesaran, keupayaan hospital dengan kapasiti ditingkatkan kepada 5,000 katil. Jurutera eksekutif projek itu Masudul Alam mengatakan ia diilhamkan oleh hospital sementara yang dibina dengan cepat di kota Wuhan, China.

Masudul berkata, 250 orang telah “bekerja tanpa henti 24/7” untuk membina kemudahan dengan kos 290 juta taka (AS$3,4 juta) itu dalam masa tiga minggu. – AFP