DEWAN Undangan Negeri (DUN) Ba’Kelalan antara kawasan di Bahagian Limbang dengan majoriti penduduknya suku Lun Bawang.
ADUN Ba’Kelalan Baru Bian berkongsi mengenai perancangan, pembangunan serta isu di kawasan sekitar 4 kilometer dari sempadan Kalimantan, Indonesia itu.
SUARA SARAWAK: Sepanjang tempoh memegang mandat sebagai ADUN Ba’Kelalan, apakah isu yang ingin diketengahkan?
BARU: Antara isu yang ingin saya ketengahkan ialah percepatkan pembinaan infrastruktur serta bekalan elektrik di seluruh kawasan sama seperti di bandar.
Selain itu, hutan dan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) juga perlu dilindungi kerana itu merupakan warisan dan pusaka penduduk.
Saya juga ingin memastikan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan masyarakat dipertingkatkan seperti pembangunan tanah NCR dalam kegiatan ekonomi susulan pembangunan ibu negara baharu Indonesia.
Apakah cadangan YB bagi mengatasi isu berkenaan?
Kita bertuah kerana infrastruktur yang saya mulakan semasa menjadi Menteri Kerja Raya iaitu Jalan Hubungan Sarawak-Sabah (SSLR) diluluskan dan diberi peruntukan bajet.
Projek Fasa Satu dan Dua sedang berjalan.
Mengenai bekalan elektrik, saya dimaklumkan projek penyambungannya di seluruh kawasan Ba’Kelalan sedang dijalankan dan akan siap pada 2025.
Mengenai pembangunan ekonomi pula, saya telah meminta kerajaan membantu dalam pengeluaran dan pemasaran beras adan serta memulakan penyelidikan tentang kegunaan hiliran beras dalam produk makanan dan kecantikan.
Thailand yang memulakan bidang ini terlebih dahulu.
Mungkin YB boleh kongsikan visi untuk membangunkan kawasan Ba’Kelalan?
Visi saya sentiasa untuk memastikan seluruh kawasan disediakan dengan ketersambungan dari segi infrastruktur, elektrik dan Internet yang akan memacu pertumbuhan ekonomi di kawasan ini.
Pencapaian terbaharu di kawasan YB
Pembinaan Jalan SSLR, yang akan membolehkan rakyat Sarawak memandu antara Miri, Limbang dan Lawas tanpa melalui Brunei.
Sebelum ini, keperluan untuk melalui Brunei merupakan satu kesulitan yang besar terutamanya kepada mereka yang perlu ke Miri untuk mendapatkan rawatan kerana sebahagian daripada penduduk tidak mempunyai pasport yang menyebabkan mereka tidak dapat membuat perjalanan.
Perancangan masa hadapan YB untuk kawasan
Salah satu perkara yang perlu kita lakukan ialah menyediakan orang ramai untuk melaksanakan projek, seperti projek di bawah Fasa II SSLR.
Saya mahu penduduk tempatan mengambil peluang terlibat dalam projek yang ada.
Saya juga menyeru syarikat yang menjalankan projek ini untuk merekrut penduduk tempatan dan menyediakan latihan supaya mereka boleh mendapat manfaat daripada projek ini.