
KUCHING: Kerajaan Sarawak merancang untuk membangunkan kawasan Usun Apau di Ulu Baram, Miri.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kawasan Usun Apau itu mempunyai air terjun yang serupa dengan Air Terjun Niagara di Kanada.
“Ada satu kawasan bernama Usun Apau yang belum kita bangunkan. Air terjun di sana cantik, sangat bagus, dan sangat sejuk.
“Ini merupakan sebahagian daripada program kita dalam pembangunan jangka panjang sehingga tahun 2030 di bawah Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS 2030),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian sempena Majlis Makan Malam Persatuan Hotel Malaysia (MAH) di Hotel Hilton Kuching, 15 Ogos lalu.
Kawasan Usun Apau telah diwartakan sebagai Taman Negara pada September 2005 ia merupakan dataran tinggi gunung berapi yang terletak di hulu sungai Rajang dan Baram, di bahagian selatan Bahagian Miri.
Air terjun tertinggi di Sarawak ialah Air Terjun Julan yang terletak di Taman Negara Usun Apau.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan negeri memperuntukkan dana untuk membina infrastruktur seperti jalan raya dan jambatan bagi menyediakan mobiliti yang lebih baik kepada rakyat – ia juga penting untuk sektor pelancongan.
“Jika pelancong ingin menikmati Terubok di Sebuyau atau Empurau di Kapit, mereka boleh menggunakan di jalan pesisir.
“Dahulu untuk ke kawasan itu kita perlu menaiki bot ekspres, tetapi sekarang sudah boleh memandu sehingga ke Kapit hingga Baleh kerana terdapat infrastruktur jalan raya,” ujarnya.
Beliau menambah jambatan menarik – jambatan kabel dengan pemasangan lampu juga sedang dibina di Bintulu dan Batang Lupar.
“Jadi inilah infrastruktur yang kita buat… Untuk memberikan perasaan ‘umph’ itu kepada rakyat supaya orang ramai datang (melawat Sarawak),” tegasnya.
Abang Johari berkata orang ramai terpukau apabila melihat jambatan merah ikonik San Francisco dan perasaan yang sama berlaku apabila orang ramai mengunjungi Jambatan Satok yang kini diterangi dengan lampu berwarna-warni.
“Selain itu, kita juga sedang membina jambatan merentasi Sungai Baram ke Marudi, kemudian kita juga membina jalan dari Marudi sehingga ke Long Terawan dan jalan itu akan melalui luar Mulu kerana ia kawasan Warisan Unesco, sehingga ke Limbang kawasan Gunung Buda berada.
“Mereka dari Limbang boleh pergi ke Brunei.
Begitu juga, dari bahagian utara Miri, anda boleh pergi ke Limbang kerana keseluruhan jalan raya akan dibina, justeru itu akan memudahkan pelancong untuk menikmati budaya Orang Ulu serta melihat pemandangan di kawasan luar bandar,” jelasnya.