
BINTANGOR: Seramai 26 orang mangsa banjir Rumah Micheal Ulu Strass, di sini terpaksa dipindahkan susulan kawasan tersebut dilanda banjir, pagi tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak (PGOB), pihaknya menerima panggilan kejadian pada jam 5.56 pagi sebelum mengarahkan sepasukan anggota ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian, bomba mendapati paras air kira-kira tiga hingga empat kaki dari permukaan jalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ujarnya, mangsa-mangsa banjir turut dipindahkan menggunakan bot penyelamat, selain pemasangan tali dari rumah yang banjir.
“Kesemua mangsa berjaya dipindahkan ke kawasan rumah berdekatan yang lebih tinggi.
“Setakat ini, tiada Pusat Penempatan Sementara (PPS) dibuka,” katanya lagi.