ARTIKEL

Gambar dikongsikan oleh TR Charles Damit semasa kejadian banjir kilat berlaku tempoh hari.

Banjir kilat akibat hujan lebat lakar sejarah hitam buat Rumah Panjang Lawing Padeh

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BETONG: Hujung minggu lalu menyaksikan banyak kawasan rendah dilanda banjir kilat ekoran hujan lebat berterusan.

Ia berlaku kurang seminggu sebelum sambutan Gawai Dayak.

Keadaan banjir kilat di pekarangan rumah panjang berkenaan pada 25 Mei lalu.

Justeru, bagi rumah panjang yang dilimpahi air pasti berhadapan dugaan yang amat besar.

Semalam, Suara Sarawak sempat mendapatkan respons lanjut dari salah sebuah rumah panjang yang terjejas, iaitu Rumah Panjang Lawing Padeh.

TR Charles Damit berswafoto di PPS Pusat Pembangunan Desa, Layar.

Menurut Tuai Rumah Charles Damit Augustine, tragedi banjir kilat menjelang sambutan Gawai Dayak adalah sejarah bagi penghuni rumah panjangnya yang terletak kira-kira lebih 20 kilometer dari Pekan Betong.

“Rumah panjang ini berusia 69 tahun.

Sungguh sedih melihat keadaan sekitar terjejas.

“Bukan sahaja harta benda rosak, tetapi turut terjejas adalah ternakan, dan banjir kilat yang berlaku kurang seminggu sebelum Gawai Dayak adalah sejarah selepas 69 tahun.

“Oleh kerana sebelum ini tidak pernah berlaku, kami amat sedih dan pilu memandangkan persediaan untuk sambutan Gawai Dayak sudah dirancang, namun tiba-tiba bencana melanda,” katanya di sini semalam.

Jelasnya, insiden tersebut sangat menjejaskan persiapan raya.

Walaupun demikian, tambahnya, Gawai Dayak pada 1 Jun depan tetap disambut seperti biasa.

“Walaupun dalam keadaan serba kekurangan, dalam keadaan susah, kita pasti mencari masa untuk meraikan Gawai Dayak bersama-sama dengan sanak-saudara dan ahli keluarga.

“Kerana perayaan seperti ini setahun sekali, yakni harus dimanfaatkan untuk mengeratkan silaturahim dan meningkatkan nilai kekeluargaan dalam kalangan semua penghuni.

“Aktiviti berkumpul bersama-sama dengan sanak-saudara yang balik ke kampung semasa Gawai Dayak harus diadakan,” ujarnya.

Katanya lagi, ia menjadi pengalaman baharu buat generasi muda untuk meraikan Gawai Dayak dalam suasana serba kekurangan tanpa peralatan lengkap.

Tambah Charles, rumah panjang telah dikemas dan dibersihkan daripada lumpur setakat yang termampu.

Beliau berterima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan sumbangan yang sangat meringankan beban.

Secara keseluruhan, Rumah Panjang Lawing Padeh mempunyai 14 pintu dengan anggaran 112 penghuni (termasuk yang bekerja di seluruh Sarawak).

Menurut Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Daerah Betong, Kapten Siti Huzaimah Ibrahim, rumah panjang tersebut dilanda banjir kilat pada 25 Mei lepas.

Ia membabitkan 24 penghuni daripada empat keluarga yang terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Pusat Pembangunan Desa, Layar selama tiga hari.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU