
KUCHING: Beberapa kawasan di sini mula dilanda banjir ekoran hujan yang melanda sejak semalam, yang menyaksikan dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kini dibuka.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri menerusi satu kenyataan hari ini, kedua-dua PPS itu dibuka pada jam 11.15 malam tadi bagi menempatkan mangsa banjir dari dua kampung di Daerah Lundu/ Sematan.
Katanya sebuah PPS dibuka di SK Sebat bagi menempatkan seramai 39 mangsa daripada 10 isi rumah dari Kampung Sebat Melayu.

Manakala sebuah lagi PPS dibuka di Balai Raya Kampung Sebat Dayak bagi menempatkan seramai 17 mangsa daripada tujuh isi rumah dari Kampung Sebat Dayak.
Sementara, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pemantauan yang dijalankan oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya mendapati lebih 30 buah rumah di Kampung Bako dinaiki air pada malam tadi.
Namun, katanya tiada operasi pemindahan dilakukan.

Selain itu, beliau berkata pemantauan oleh BBP Petra Jaya turut mendapati tiga buah rumah terjejas banjir di Kampung Telaga Air pada malam tadi.
Katanya mangsa-mangsa yang terjejas terdiri daripada 12 lelaki dewasa, enam wanita dewasa dan tujuh kanak-kanak.
Bagaimanapun, katanya kesemua mangsa tidak dipindahkan.