Bank Digital: BNM keluarkan Dokumen Dasar Rangka Kerja Pelesenan

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan Dokumen Dasar Rangka Kerja Pelesenan Bank Digital (Dokumen Dasar) setelah berakhirnya tempoh maklum balas awam selama enam bulan.

Dalam kenyataan, BNM berkata rangka kerja pelesenan bank digital bertujuan untuk membolehkan penggunaan teknologi inovatif bagi meningkatkan kesejahteraan kewangan individu dan perniagaan serta menyokong pertumbuhan yang lestari.

Ini termasuk memperluas akses secara bermakna dan menggalakkan penggunaan penyelesaian kewangan yang sesuai secara bertanggungjawab kepada segmen yang tercicir atau kurang mendapat kemudahan perkhidmatan kewangan.

Rangka kerja ini mengambil pendekatan seimbang bagi membolehkan kemasukan bank digital yang mempunyai nilai tawaran yang kukuh dan pada masa yang sama memelihara integriti dan kestabilan sistem kewangan serta kepentingan pendeposit.

Bagi mencapai matlamat ini, rangka kerja pengawalseliaan yang dipermudah akan diguna pakai ke atas bank digital pada peringkat awal operasi, bersesuaian dengan nilai ambang penetapan had aset yang tidak boleh melebihi RM3 bilion untuk tempoh tiga hingga lima tahun operasi.

“Tempoh ini berfungsi sebagai fasa asas bagi pemegang lesen untuk menunjukkan daya maju dan kekukuhan operasi mereka, dan membolehkan pihak Bank memantau prestasi bank digital berlesen dan sebarang risiko yang timbul daripada operasi mereka,” menurut BNM.

Katanya bank digital perlu mematuhi keperluan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) atau Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA), termasuk piawaian mengenai kehematan, Syariah, amalan perniagaan dan perlindungan pengguna serta pencegahan pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan.

Dalam fasa asas, BNM berkata bank digital berlesen akan tertakluk pada keperluan pengawalseliaan yang dipermudah berkaitan dengan kecukupan modal, mudah tunai, ujian tekanan, tadbir urus Syariah dan keperluan penzahiran awam.

Permohonan untuk menjalankan perniagaan perbankan digital atau perniagaan perbankan digital secara Islam hendaklah dikemukakan kepada Bank selewat-lewatnya pada 30 Jun 2021.

Pemohon perlu mengikut prosedur permohonan yang dinyatakan dalam Dokumen Dasar ini dan juga Prosedur Permohonan untuk Lesen Baharu di bawah FSA dan IFSA dan Prosedur Permohonan Perolehan Kepentingan dalam Saham dan menjadi Syarikat Pemegangan Kewangan.

“Sehingga lima lesen akan dipertimbangkan untuk pemohon yang layak. Pemberitahuan mengenai pemberian lesen akan dibuat pada suku pertama 2022,” katanya.

 

Suara Sarawak