ARTIKEL

Bank harus guna polisi lebih lindungi pelanggan, jamin keselamatan wang simpanan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Chong Chieng Jen (kanan) menyerahkan surat kepada Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim Chee Keong, hari ini.

KUCHING: Kementerian Kewangan Malaysia digesa untuk menerima pakai polisi yang lebih memberi pelindungan dan menjamin keselamatan pengguna perbankan berbanding pihak bank.

Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen berkata, dasar yang lebih mesra pendeposit sedemikian sekali gus akan memaksa pihak bank untuk menambah baik sistem keselamatan perbankan internet mereka.

“Pastinya terdapat langkah yang boleh diambil oleh pihak bank untuk mengurangkan urus niaga penipuan dan membantu mengelakkan kerugian kepada pemegang akaun antaranya mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) kepada mana-mana individu yang membuka akaun bank.

“Pihak bank juga boleh mengetatkan beberapa arahan tertentu seperti pengguna harus hadir secara fizikal di mana-mana cawangan apabila mahu meningkatkan had pengeluaran harian, menukar nombor telefon untuk pengesahan dan lain-lain.

“Bagi pemindahan dana kepada pihak ketiga kali pertama yang melebihi jumlah tertentu, perlindungan tambahan boleh diperkenalkan oleh bank dengan urus niaga tersebut tidak boleh dibenarkan dilakukan hanya melalui sistem perbankan internet,” katanya dalam surat gesaan tindakan kepada Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim Chee Keong bertarikh 31 Januari 2023.

Dalam suratnya itu, Chong turut meminta kementerian tersebut untuk campur tangan dalam kes-kes penipuan bank serta transaksi kewangan tanpa kebenaran yang semakin berleluasa termasuk melibatkan 10 rakyat Sarawak supaya pesalah dapat dibawa ke mahkamah dan mangsa menerima pampasan atas kerugian mereka.

Tambahnya, pihak bank juga boleh memperkenalkan beberapa mekanisme ‘red flag’ dalam sistem keselamatan sekiranya berlaku urus niaga berulang dalam tempoh masa yang singkat, contohnya terdapat enam transaksi dilakukan dalam masa hanya enam minit, dan sebagainya.

Mengulas lanjut, Chong memberitahu hanya pihak bank yang mempunyai kemampuan kewangan untuk menambah baik sistem keselamatan perbankan internet mereka kerana simpanan individu diserahkan kepada sistem keselamatan bank.

“Namun pada masa ini, kebanyakan bank mengadakan pendekatan “tidak peduli”, seolah-olah penipuan yang dilakukan tiada kaitan dengan bank. Pendekatan sedemikian telah membantutkan usaha mangsa untuk mendapatkan semula wang mereka.

“Sebenarnya, aktiviti pemindahan wang tanpa kebenaran daripada akaun seseorang ke akaun lain adalah jenayah “mencuri”. Dengan membenarkan pelanggannya mempunyai akaun bank untuk memudahkan mencuri, bank itu sebenarnya bersubahat dengan jenayah.

“Justeru itu, hanya apabila Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kewangan mengambil sikap serius mengenai perkara ini, bank-bank di negara kita akan melakukan usaha bersepadu untuk memerangi masalah tersebut,” ujarnya.

BERITA LAIN

280 individu sertai Larian Amal Rakyat 2.0

KUCHING: Seramai 280 individu telah menyertai program Larian Amal Rakyat 2.0 yang berlangsung semalam. Program larian tersebut anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Sekolah

BERITA TERBARU