KUCHING: Kerajaan Sarawak agresif menangani masalah penyalahgunaan dadah di kawasan luar bandar menerusi penubuhan Biro Pusat Sehenti Komuniti (OSC) Menangani Isu Dadah dan Substans (MIDS).
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Razi Sitam berkata, penubuhan biro tersebut telah ditubuhkan mulai 2021 melibatkan 18 buah kawasan seperti Kuching, Bau, Lundu, Sri Aman, Kanowit, Miri, Subis, Lawas, Kapit, Belaga, Bintulu, Samarahan, Asajaya, Betong, Saratok, Dalat, Pakan, dan Selangau.
Menurutnya, penubuhan biro yang berada di peringkat akar umbi ini adalah langkah Kerajaan Sarawak untuk memastikan kelestarian menangani isu dadah dan substans dalam komuniti.
“Di samping, menyokong gerak gempur penguatkuasaan yang agresif terhadap aktiviti penyalahgunaan dadah menggunakan peralatan dan instrumen taktikal yang dibiayai Kerajaan Sarawak.
“(Peralatan) seperti mesin Pengimbas Bahan Narkotik, Anjing-anjing Pengesan Dadah Tambahan, Pengesan Dadah Visual Segera (IVDD) dan Pengesan Dadah Genggam yang diguna pakai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Jabatan Kastam DiRaja Malaysia dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Adun Tamin, Christopher Gira Sambang dan Adun Simunjan, Awla Dris pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.
Razi berkata, Kerajaan Sarawak juga menyokong operasi 20 buah fasiliti Pusat Sehenti (OSCA) di klinik-klinik kendalian Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak termasuk yang terletak di luar bandar.
Malah katanya, Kerajaan Sarawak juga menubuh dan menyokong operasi tujuh buah Pusat Pembangunan Komuniti Pemulihan dan Intervensi (CDIC) bagi komuniti terjebak substans oleh OSC MIDS Daerah dan AADK Sarawak.