Trending

Bantu anak asnaf lanjut pengajian

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

MIRI: Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) akan terus membantu anakanak asnaf Islam yang ditawarkan untuk melanjutkan pengajian ke institut pengajian tinggi (IPT) awam atau swasta.

Pengurus Besar TBS Datuk Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie memberitahu, bantuan pendidikan tunai akan disalurkan kepada pelajar yang berkelayakan untuk pendaftaran.

“Setiap tahun kita banyak menerima pemohonan bantuan pendidikan dan TBS akan membantu kumpulan sasar ini dengan bantuan tunai minima RM2,500 bagi memudahkan proses kemasukan mereka ke universiti,” katanya semasa Majlis Ramah-tamah Aidilfitri dan Hari Bersama Pelanggan TBS Miri di sini semalam.

Mohd Shibli mengakui terdapat anak-anak asnaf atau B40 ini menghadapi masalah kewangan hingga mereka sukar untuk mendaftarkan diri ke universiti.

“Ramai pelajar dari negeri ini mendapat tawaran ke universiti luar Sarawak bahkan terdapat ibu bapa mempunyai masalah kewangan untuk menghantar anak ke sana.

“Susulan itu, TBS menjadi agensi pertama menghulurkan bantuan tunai awal kepada mereka sehingga RM2,500 untuk proses pengangkutan, pendaftaran dan makan minum,” jelasnya.

Menurut beliau lagi, pada 2021, TBS menyalurkan bantuan pendidikan kepada 14,749 pelajar dan jumlah itu meningkat kepada 16,920 pelajar pada 2022 dengan peruntukan RM30.18 juta.

“Bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini pula, TBS membantu seramai 2,658 pelajar dengan peruntukkan RM5.41 juta,” katanya.

Bantuan yang dibuat sekali beri itu adalah untuk meringankan beban anak-anak asnaf Islam menerusi agihan zakat yang dikutip setiap tahun.

“Agensi lain seperti Yayasan Sarawak dan sebagainya juga ada menawarkan bantuan pendidikan bagi memudahkan kemasukan pelajar ini ke universiti,” jelasnya.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Lee Kim Shin, Timbalan Datuk Bandar Miri Kaunselor Ariffin Mohamad, Residen Miri Jamalie Busri, Ketua TBS Bahagian Miri Marini Juraibi turut hadir.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

22 September 2023

Berita Terbaru