Bantu atlet pulih cepat

PARA atlet Sarawak mendapat manfaat, dengan terbinanya Pusat Pemulihan Berprestasi Tinggi di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Petra Jaya, Kuching.

Pusat “Rehab Concept” itu akan membantu para atlet yang cedera untuk sembuh dengan cepat dan selamat. Malah atlet juga akan kembali ke prestasi asal.

Pusat tersebut ditubuhkan dengan kerjasama Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) di bawah Unit Prestasi Tinggi (HPU).

Menteri Muda Sukan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan menjelaskan, pusat ini sangat membantu atlet kita yang cedera.

“Kita percaya para atlet pasti menarik nafas lega, kerana pusat ini akan memberikan pelbagai perkhidmatan fisioterapi untuk pemulihan,” ujar beliau pada sidang media.

“Pemulihan selepas kecederaan adalah penting untuk membantu atlet dapat meneruskan latihan secepat mungkin.

“Ia boleh membantu Sarawak mencapai visi dan misi sebagai kuasa sukan di negara ini menjelang 2024,” ujar Snowdan.

Pusat tersebut mula beroperasi sejak Januari tahun lalu, dan lebih seratus atlet berstatus elit daripada 23 jenis sukan telah menggunakannya.

“Pusat ini yang menggunakan peralatan canggih dari Amerika Syarikat dengan tenaga terapi yang profesional.

“Setakat ini ia hanya untuk kegunaan atlet dan belum dibuka kepada orang awam,” jelas beliau lagi.

Hadir sama pada majlis perasmian semalam ialah Ketua Pegawai Eksekutif SSC, Dr Ong Kong Swee, Pemangku Setiausaha Sulit Kementerian Belia dan Sukan Sarawak, Nancy Jolhi, Ketua Unit Pretasi Tinggi SSC, Andre Richards, Ketua Bahagian Pembangunan Sukan SSC, Ahmad Rodzli Hashim serta pegawai dari pusat berkenaan.

Suara Sarawak