SIMANGGANG: Seorang wanita berusia 48 tahun yang dipercayai sering kemurungan dilaporkan hilang sejak tiga hari lalu selepas keluar rumah pada Sabtu.
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman dalam kenyataan hari ini, memohon orang ramai yang terserempak dengan Teresa Gudom untuk memaklumkan kepada pihak polis atau ahli keluarga.
Kata kenyataan itu, maklumat terakhir suri rumah itu dilihat pada 10 pagi Sabtu itu ketika berjalan kaki di Jalan Sabu berhampiran persimpangan Kampung Muhibbah dari arah Bandar Simanggang.

“Ketika keluar rumah, Teresa memakai baju berkolar warna kelabu dan berseluar panjang warna hitam.
“Usaha mencari dipergiat oleh ahli keluarga dan pihak polis.
“Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi IPD Sri Aman di talian 083-322121/122 atau Bilik Gerakan 083-322035,” katanya hari ini.
Orang ramai juga boleh menghubungi Balai Polis Pantu (011-65727285), Balai Polis Lingga (011-65727673), Balai Polis Batu Lintang (011-65727973) atau Balai Polis Skrang (011-65729711).
Difahamkan, ini kali ketiga Teresa pernah hilang.
Untuk pengecaman, Teresa berbadan gempal dengan ketinggian sekitar 157 sentimeter, berkulit sawo matang, muka bulat dengan dua tahi lalat di dahi dan tepi bawah mata kanan.