KUCHING: Sebagai satu-satunya kerajaan negeri yang menyediakan peruntukan untuk rawatan kesihatan, Sarawak amat mengalu-alukan sumbangan daripada individu dan badan-badan korporat bagi membantu golongan memerlukan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, usaha itu penting bagi menampung kos perubatan dan rawatan kesihatan yang memerlukan kos tinggi dan tidak dapat ditanggung oleh pesakit.
“Kita sangat bertuah kerana Kerajaan Sarawak menyediakan peruntukan khas untuk pesakit-pesakit khususnya golongan B40 yang memerlukan bantuan bagi menampung kos rawatan.

“Namun dalam masa yang sama, kita mengalu-alukan badan korporat melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan individu-individu untuk turut menghulurkan sumbangan bagi membantu mereka ini.
“Lebih banyak bantuan yang diterima, lebih ramai pesakit yang dapat kita bantu,” katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat daripada Persatuan Pemulihan Pendengaran Dan Aural (Hear) Sarawak di sini, hari ini.
Ujarnya, antara peruntukan yang telah disalurkan Sarawak adalah bagi membantu individu-individu yang menghadapi masalah pendengaran untuk mendapatkan implan koklear.
Sementara menurut Presiden Hear Sarawak, Dr. Tang Ing Ping, sehingga kini sebanyak tujuh kes pesakit telah berjaya menerima implan hasil daripada peruntukan diberi oleh Kerajaan Sarawak, ia termasuk Mervina Tadu Stanley, Nur Syafiyya, Dayang Irdina Awang Ahmad Tarmizi, Nur Azmya Aira Mohammad Azwan, Adley Matthew, Chong Hon Sin dan Adelyn Allen Alang.
“Mereka yang telah menjalani pembedahan kini mula menunjukkan kemajuan yang sangat memberangsangkan – bertindak balas dengan baik terhadap bunyi, menghasilkan vokal dan terus menjalani temu janji susulan yang dijadualkan.
“Mereka juga mengalami pemulihan pertuturan yang sangat baik. Laporan klinikal akan menyusul tidak lama lagi,” jelasnya.
Dalam pada itu, katanya kunjungan hormat tersebut adalah untuk mendapatkan sumbangan bagi beberapa lagi pesakit yang memerlukan bantuan pemulihan.