DUA tahun berdepan pelbagai cabaran akibat pandemik Covid bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi untuk mereka yang terlibat secara langsung dalam indusri pelancongan.
Buktinya, sebanyak 55 hotel yang berdaftar dengan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dan diiktiraf oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) terpaksa ditutup sepenuhnya manakala 86 hotel ditutup sementara.
Malah, dianggarkan lebih 8,000 pekerja sektor berkenaan dibuang kerja.
Malah kerugian semasa yang dialami sektor industri pelancongan negara sejak Mac tahun lalu dianggarkan mencecah RM45 bilion berikutan penutupan sempadan negeri dan negara susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilaksanakan kerajaan.
Kerugian itu meliputi kehilangan pekerjaan dan pembatalan tempahan produk pelancongan seperti hotel serta pakej-pakej pelancongan di seluruh negara.
Antara yang paling teruk terjejas adalah agensi kembara.
Dengan kerugian sebanyak RM108 juta, sektor makanan dan minuman (F & B) sebanyak RM82 juta, hotel sebanyak RM60 juta, pemandu pelancong RM15 juta, serta kraf tangan dan cenderamata sebanyak RM12 juta.
Namun selepas negara memasuki fasa peralihan ke endemik, pelbagai sektor dibuka semula termasuklah pelancongan, sekali gus mendorong penggiat industri itu melakukan persiapan sebaik-baiknya untuk menyambut kedatangan pelancong sama ada dari dalam mahupun luar negara.
Untuk rekod, Malaysia pernah mencatatkan ketibaan 26.1 juta pelancong antarabangsa ke negara ini yang menyumbang kepada pendapatan pelancongan sebanyak RM86.14 bilion.
Pasca-Covid-19 diyakini melonjak semula industri itu dan dijangka menarik kehadiran pelancong terutama dari rantau Asia termasuk China, Indonesia, Australia selain beberapa negara jiran terdekat.
Namun, persediaan penting bagi memastikan sektor itu terus berkembang malah, usaha mempergiatkan penggunaan teknologi dan inovasi dalam merancakkan seni dan budaya juga perlu dilaksanakan.
Sehubungan itu, kerjasama agensi berkaitan dan masyarakat amat penting selain usaha penambahbaikan kemudahan infrastruktur pelancongan, program berkaitan di samping mempelbagaikan produk yang mampu menjadi daya tarikan kepada pengunjung.
Dalam pada itu, banyak penggiat industri itu dilihat sudah bersiap sedia walaupun ada antaranya, menjangkakan jumlah pelancong tidak akan meningkat secara mendadak kerana pembukaan sempadan negara baru bermula.
Pemulihan industri pelancongan akan mengambil masa, namun Malaysia adalah antara negara yang mempunyai kadar vaksinasi tinggi di dunia.
Kadar vaksinasi yang tinggi ini akan memberikan keyakinan kepada pelancong asing dan domestik.
Majlis Pengembaraan dan Pelancongan Dunia (WTTC) menjangkakan sektor itu akan pulih dalam tempoh sekurang-kurangnya 10 bulan walaupun Covid-19 sudah berakhir.
Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mentaksirkan kedatangan pelancong antarabangsa kemungkinan menjunam antara 58 peratus hingga 78 peratus pada 2020 dengan kerugian ditaksirkan sekitar lebih RM3 trilion.
Dalam perkembangan berkaitan, negara kita mempunyai banyak tempat menarik untuk diterokai, malah kerajaan juga menyediakan banyak inisiatif dan pakej menarik kepada rakyat kita.
Jadi gunalah peluang itu dengan sebaik-baiknya.