DARO: ADUN Daro Safiee Ahmad menghadiri Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri 2023 anjuran bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tengah, Jawatankuasa Pengurusan (JKP) Surau Darul Mu’min dan Saberkas Unit Kampung Tengah.
Beliau turut menyatakan Kerajaan Sarawak sangat prihatin terhadap rakyat.
“Seperti yang kita maklum, penduduk kampung semakin padat dan rumah juga semakin banyak menyebabkan golongan yang baru berkeluarga tiada lot untuk mendirikan rumah.
“Antara usaha kerajaan untuk membantu rakyat ialah dengan melaksanakan Skim Pembesaran Kampung (SPK) bagi Kampung Tengah, Kampung Lemang Pek dan Kampung Pangtray.
“Bukan itu sahaja, di sini juga akan ditempatkan banyak lot untuk penduduk sekitar,” katanya berucap dalam Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri 2023 Kampung Tengah Daro, di Balai Raya Kampung Tengah, di sini, semalam.
Sehubungan itu, Safiee yang juga Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Islam Daro (LAKMD), menyampaikan sumbangan kepada JKP Surau Darul Mu’min, JKP Masjid Darul Ihsan Kampung Lemang Pek, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Daro, Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Cawangan Serdeng dan Matu Daro.
Beliau juga mengumumkan kelulusan dana kepada JKKK Kampung Tengah dan Kampung Lemang Pek secara keseluruhannya berjumlah RM44,000.
Dalam masa sama, beliau mengumumkan kelulusan projek naik taraf jalan Kampung Tengah bernilai RM150,000. Penghulu Jebli Ngok dan Penghulu Yusuf Bakeri turut hadir.