
KOTA SAMARAHAN: Badang Sarawak, Buda Anchah berhasrat untuk merangkul pingat emas pada kejohanan Sukan SEA ke-32 di Kemboja yang akan berlangsung dari 5 hingga 17 Mei 2023.
Atlet bina badan veteran berusia 51 tahun itu mengakui mahu menepis kegagalannya pada pentas sama di Hanoi lalu yang sekadar berada di tempat kedua.
“Ini adalah penyertaan saya kali keempat dalam kejohanan sukan tersebut. Sukan SEA kali terakhir yang berlangsung di Hanoi, saya mendapat pingat perak.
“Memandangkan momentum kejohanan antarabangsa lepas masih ada, sasaran saya untuk penyertaan kali ini adalah emas,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.
Dalam perkembangan sama, beliau meminta pihak Majlis Sukan Negara (MSN) mahupun negeri membantu atlet bina badan yang akan terlibat kejohanan untuk menyelesaikan masalah perbelanjaan kos pemakanan dan juga makanan tambahan.
Katanya, hal ini kerana perkara tersebut antara masalah yang dihadapinya setiap kali perlu mengekalkan persediaan mantap menjelang kejohanan.
Buda mendedahkan perbelanjaan untuk konsisten pemakanan dietnya menjelang kejohanan boleh mencecah kira-kira RM9,000 sebulan.
Atlet kelahiran Sri Aman itu juga mendedahkan akan terlibat dalam tiga sukan bina badan antarabangsa sepanjang tahun 2023.
Dua lagi pentas antarabangsa yang akan disertainya adalah Mr Asia di Kathmandu Nepal pada 1 hingga 7 September 2023, diikuti Mr World di Korea Selatan pada 31 Oktober hingga 6 November 2023.