KUCHING: Pelaksanaan Program Sukarelawan Kesihatan membuka peluang pekerjaan sambilan kepada rakyat khususnya penganggur.
Sekali gus progam ini berupaya membantu petugas barisan hadapan terutama kakitangan kesihatan mengurus isu berkaitan pandemik Covid-19.
Secara tidak langsung kekangan petugas untuk melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dapat diatasi melalui penglibatan sukarelawan ini.
Bagi Nur Elyana Kamil, 21, peluang itu dimanfaatkan sepenuhnya bagi membantu petugas kesihatan di pusat pemberian vaksin.
“Selain diberikan sijil dan elaun, kami juga berkhidmat membantu petugas kesihatan, dengan erti kata lain memudahkan urusan mereka,” katanya.
Menurut Mohd Shahril Johadi, 21, program ini sedikit banyak memberi pengalaman baharu kepada dirinya terutama dalam soal perubatan dan kesihatan.
“Agak mencabar kerana ini merupakan pengalaman pertama saya sebagai petugas barisan hadapan yang perlu menjawab segala pertanyaan dan membantu memperbetul pemahaman orang ramai tentang vaksin.
“Ini kerana masih segelintir masyarakat yang tahu akan kepentingan vaksin,” katanya.
Berkongsi pengalaman sama dari segi keselamatan, menurut Siti Norafaziella, 20, mereka dilengkapi pelindung dan pelitup muka, cecair santitasi, selain insurans sekiranya berlaku kemalangan semasa bertugas.
Adrian Anggang, 20, yang juga peserta program sukarelawan itu menasihatkan bakal penerima vaksin hadir sejam lebih awal bagi memudahkan urusan vaksinasi.
“Nasihat saya jangan datang terlalu awal kerana ia boleh menimbulkan kesesakan dan penjarakan sosial lebih sukar dilakukan” katanya ketika ditemui Suara Sarawak hari ini.
Untuk maklumat lanjut program ini, sila layari https://www.myvac.com.my/ sekali gus untuk mendaftar sebagai sukarelawan kesihatan.