Bantu usahawan kraf tempatan

LIMBANG: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) menerusi Kraftangan Malaysia giat melaksanakan pelbagai program untuk membantu usahawan kraf tempatan menghadapi situasi ekonomi yang agak mencabar ini.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia dilaksanakan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) di bawah teras pertama Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) iaitu memperkasakan rakyat.

Menurutnya, program Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) yang dilaksanakan di bawah Inisiatif Pembangunan Kemahiran dan Peningkatan Kemahiran merupakan usaha membangun dan memperkasa komuniti kraf untuk terlibat secara langsung dalam perusahaan kraf bagi menjana pendapatan utama atau sampingan.

“Pelaksanaan program ini merupakan usaha kerajaan untuk membantu kumpulan sasar iaitu belia, asnaf, golongan B40 (bandar dan desa), masyarakat Orang Asli, etnik Sabah, etnik Sarawak, kumpulan rentan (ibu tunggal, orang kelainan upaya dan warga emas) serta penganggur.

“Program ini memfokuskan empat inisiatif iaitu pembangunan produk, pengeluaran, kemahiran teknikal dan digital serta pasaran dan promosi,” katanya pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Sijil Program Pembangunan Kemahiran Komuniti Kraf Parang, di Kampung Patiambun, pada Sabtu.

Nancy berkata, bermula September hingga Disember 2020, sebanyak 15 aktiviti program pembangunan kemahiran komuniti kraf diadakan di beberapa daerah di Sarawak dengan penyertaan 300 peserta.

“Kemudian sebanyak 31 aktiviti program itu akan diadakan di Sarawak sepanjang tahun ini iaitu mulai Mac hingga Disember dengan sasaran 860 peserta,” katanya.

Jelas Nancy lagi, sepanjang 2020, Kraftangan Malaysia berjaya mencapai nilai jualan kraf RM233.3 juta atau 116.7 peratus melebihi sasaran ditetapkan RM200 juta dengan bilangan usahawan kraf yang terlibat seramai 6,042 orang serta bilangan komuniti seramai 22,710 orang.

Katanya, sehingga 28 Februari lalu, nilai jualan kraf telah mencapai RM32.2 juta atau 10.7 peratus dengan peningkatan bilangan usahawan kraf seramai 6,105 orang serta bilangan komuniti kraf seramai 23,103 orang.

“Daripada jumlah ini, Sarawak mempunyai 1,064 usahawan kraf merangkumi bidang tekstil, hasil rimba, hasil tanah, hasil logam dan aneka kraf dengan nilai jualan dijana sebanyak RM1.99 juta.

“Dari segi pecahan daerah, seramai 11 usahawan kraf dalam bidang hasil logam iaitu parang dengan nilai jualan sebanyak RM203,850 di daerah Limbang,” ujarnya.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah; Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail; Adun Batu Danau Paulus Palu Gumbang; Ketua Setiausaha Motac Datuk Noor Zari Hamat dan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia Ibrahim Ismail turut hadir.

Suara Sarawak