ARTIKEL

Bantuan awal persekolahan ringankan beban ibu bapa- KGBS

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Presiden KGBS Zulkiflee Sebli

KUCHING: Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) menyambut baik usaha Kerajaan Perpaduan dalam menyalurkan Bantuan Awal Persekolahan bernilai RM150 kepada semua murid, tanpa mengambil kira had pendapatan ibu bapa, pada Januari 2023.

Presidennya Zulkiflee Sebli berkata, sama seperti tahun sebelumnya, bantuan yang disalurkan seperti ini akan dapat membantu ibu bapa mengurangkan bebanan perbelanjaan persekolahan bagi anak-anak mereka.

“Ia sudah pasti sangat membantu khususnya kepada ibu bapa dan penjaga yang berpendapatan rendah dan mempunyai bilangan anak yang ramai,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Justeru katanya, inisiatif ini sewajarnya diteruskan dan diperluaskan lagi bagi memastikan seluruh lapisan murid mendapat manfaat daripada pelaksanaannya.

Katanya, KGBS berharap dan yakin bahawa kerajaan sentiasa mengambil berat tanggungjawab kepada kebajikan murid-murid sekolah.

“Bantuan seperti ini harus diteruskan setiap tahun kerana kita tahu ia sangat penting dalam membantu persiapan ibu-bapa menguruskan perbelanjaan persekolahan anak-anak,” tambahnya lagi.

Dalam masa yang sama, beliau turut menyarankan segelintir ibu bapa untuk tidak menyalahgunakan bantuan persekolahan anak untuk kegunaan peribadi.

“Tidak dinafikan, sememangnya ada kes-kes terpencil iaitu ibu bapa menggunakan bantuan ini untuk keperluan peribadi dan ini amat mendukacitakan.

“KGBS berasa kesal kerana hak anak-anak digunakan pada jalan yang tidak betul. Kesannya nanti adalah ke atas anak-anak kerana wang bantuan ini disalahgunakan,” tegasnya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa Kerajaan bersetuju menyalurkan Bantuan Awal Persekolahan bernilai RM150 kepada semua murid, tanpa mengambil kira had pendapatan ibu bapa, pada Januari 2023.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU